Punca Kematian Jong-nam Mungkin Diketahui Minggu Depan - Dr Subra

Diterbitkan: Khamis, 23 Februari 2017 7:28 PM

(Ubah saiz teks)

PELABUHAN KLANG: Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berharap punca kematian Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un, akan dapat dipastikan apabila keputusan analisis bedah siasat dikeluarkan pada minggu hadapan.

Pada masa ini, beliau berkata kementerian itu sedang menanti waris terdekat mangsa untuk mengenal pasti mayat dan juga untuk memberikan sampel DNA untuk pengesahan.

"Mengenai identiti mangsa (Jong-nam), kami memerlukan bahan tambahan seperti waris terdekat, data mangsa sebelum ini, kami perlu dapatkan pengesahan mengenainya.

Setakat ini di pihak kami, punca kematian mungkin dapat dipastikan minggu depan, katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis sambutan kapal Nautical Aliya yang telah menyelesaikan misi 'Food Flotilla for Myanmar' dan berlabuh di Boustead Cruise Centre, di sini, Khamis.

Dr Subramaniam berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini berkenaan bedah siasat kes kematian Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL  2 (KLIA2) pada 13 Februari lepas.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam berkata kementerian itu akan bekerja rapat dengan polis untuk memudah cara pengecaman identiti mayat mangsa.

Setakat semalam, tiada anggota keluarga atau waris terdekat Jong-nam, tampil untuk memberikan sampel DNA atau mengecam mayat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu sidang akhbar yang padat dengan pengamal media semalam, berkata laporan media tempatan dan asing yang mendakwa anak lelaki Jong-nam, Kim Han-sol telah memberi sampel darah untuk mengenal pasti mayat di Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur baru-baru ini, hanyalah sekadar khabar angin. 

Pada 13 Februari, Jong-nam, dilaporkan berada di KLIA2 pada pukul 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita dikatakan menyapu mukanya dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Jong-nam, yang datang ke Malaysia pada 6 Februari lepas menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Jong-nam , Dr Subramaniam , KLIA2

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan