Penunggang Motosikal Perlu Berdisiplin Masuki Singapura - Imigresen

Diterbitkan: Selasa, 21 Februari 2017 1:26 PM

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen menggesa penunggang motosikal ke Singapura menerusi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) supaya menjaga tingkah laku serta mematuhi peraturan ditetapkan.

Ini berikutan tindakan beberapa penunggang motosikal yang merempuh dan merosakkan lapan Sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-BIKE) semalam hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di BSI.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata M-BIKE yang baru diperkenalkan pada 15 Feb lepas masih lagi asing kepada penunggang motosikal dan berharap mereka dapat bersabar.

"Kenapa kalau di Singapura, pengguna-pengguna ini boleh mematuhi undang-undang tetapi bertindak sebaliknya di dalam negara kita. Kalau di seberang sana, pengguna terpaksa mematikan enjin motosikal dan menolak kenderaan mereka, sesiapa yang membunyikan hon juga akan didenda.

"Kita mahu mendidik masyarakat terutamanya pengguna motosikal ini supaya mematuhi undang-undang kerana sistem M-BIKE adalah satu daripada cara kita melindungi kedaulatan negara," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di KSAB, Gelang Patah, di sini pada Selasa.

Mustafar bagaimanapun, mengakui masih terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilihat Jabatan Imigresen dalam memastikan kelancaran di kedua-dua pintu masuk negara itu.

"Pagi tadi kami telah membuat tinjauan di kedua-dua pintu masuk bermula seawal 5 pagi dan mendapati memang sistem ini telah mengakibatkan kesesakan, namun, sistem sebelum ini pula mempunyai banyak ruang kelemahan sehingga berlakunya pembolosan. 

"Satu daripada punca yang kita kenal pasti adalah kelewatan palang terbuka selepas pengguna selesai mengimbas pasport mereka. M-BIKE adalah jalan keluar untuk mengelakkan pembolosan daripada terus berlarutan, ini yang pengguna perlu faham," jelasnya seperti dilaporkan Bernama.

Tambah beliau, pihaknya sudah berhubung dengan pihak pembekal bagi menangani masalah berkenaan secepat mungkin. 

Menurut Mustafar, Jabatan Imigresen sudah membuka maksimum semua kaunter laluan M-BIKE iaitu 50 kaunter masuk dan keluar di KSAB manakala 100 kaunter keluar masuk di BSI yang mampu menampung jumlah lebih 90,000 pengguna motosikal sehari.

"Dari segi jumlah kaunter yang dibuka, kita perlu melihat struktur bangunan dan buat masa ini, inilah jumlah kaunter yang mampu disediakan dan sekiranya ada penambahan ia akan bergantung kepada peruntukan yang diterima oleh Jabatan Imigren," katanya. 

Beliau turut memaklumkan pihaknya bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna. 

M-BIKE merupakan inisiatif terbaharu kerajaan untuk menambah baik kawalan keselamatan di pintu masuk negara serta situasi trafik di BSI dan KSAB. 

Pengguna motosikal disaran untuk mendaftar di Pusat Sehenti (OSC) yang beroperasi 24 jam setiap hari di BSI dan KSAB bagi memastikan mereka dapat menggunakan kemudahan berkenaan. 

Syarat pendaftaran M-BIKE adalah ia percuma kepada semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan memiliki pasport Malaysia antarabangsa yang sah dengan tempoh laku minima enam bulan. 

Pemeriksaan dokumen akan mengambil masa lapan hingga 10 saat sahaja bagi setiap individu membabitkan pemeriksaan biometrik (cap jari) dan imbasan pasport. 

Tags / Kata Kunci: Mustafar Ali , Imigresen

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan