Dakwaan Tak Masuk Akal, Pemimpin BN Bidas Zainuddin

Diterbitkan: Isnin, 20 Februari 2017 8:19 PM

Tan Sri Zainuddin Maidin

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Pemimpin Barisan Nasional telah menyelar bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin berhubung dakwaan 'tidak masuk akal dan 'tidak sensitif' beliau bahawa negara ini telah menyaksikan banyak tragedi sejak Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perdana menteri.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kenyataan Zainuddin bukan sahaja tidak wajar bagi seorang bekas menteri dan ahli politik veteran tetapi juga menentang logik.

"Terpulang kepadanya jika dia tidak bersetuju dengan perdana menteri mengenai politik.

"Tetapi bagaimana dia boleh membuat dakwaan tidak masuk akal itu hanya kerana dia tidak sehaluan dengan perdana menteri dalam politik," katanya kepada pemberita selepas menutup mesyuarat kepimpinan Yayasan Pembina di sini Isnin.

Zainuddin, dalam 'tweet'nya pada Sabtu, membuat kenyataan itu selepas lapan penunggang basikal remaja mati dan lapan lagi cedera apabila sebuah kereta melanggar mereka di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Baru.

Beliau berkata, sebelum tragedi itu, sebuah hospital telah terbakar di Johor.

Walaupun Zainuddin tidak menamakan hospital tersebut, beliau nampaknya merujuk kepada kebakaran di Hospital Sultanah Aminah, Johor Baru, yang meragut nyawa enam pesakit Oktober lalu.

Terdahulu pada Isnin, Zainudin mendakwa di bawah pemerintahan Najib, banyak perkara telah berlaku, termasuk tragedi MH370, pencerobohan Lahad Datu, penculikan dan antara lain, pembunuhan Kim Jong-nam.

"Tragedi terus berlaku di bawah era Najib," katanya di Twitter.

Mahdzir berkata Zainuddin perlu bertindak seiring usianya.

Setiausaha Agung Gerakan Liang Teck Meng juga mengkritik Zainuddin atas kenyataan beliau.

"Walaupun fahaman politik kita berbeza, tragedi seperti itu tidak perlu dijadikan alat politik," kata beliau dalam satu posting di Facebook.

"Saya seorang bapa kepada dua anak dan saya tahu bagaimana perasaan keluarga mangsa," kata Teck Meng.

Exco Pemuda Umno Ibdilillah Ishak membidas Zainuddin di Twitter.

"Seorang bekas menteri dan ahli politik veteran tidak boleh berfikiran seperti ini. Sila berhenti menulis tweet seperti orang tiak waras," tulis Ibdilillah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan