Kerajaan Tak Terburu-Buru Haram Dego Ride - Nancy Shukri

Diterbitkan: Isnin, 20 Februari 2017 11:22 AM

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mengambil sikap terburu-buru dalam memuktamadkan keputusan untuk mengharamkan perkhidmatan Dego Ride.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri yang menyifatkan perkhidmatan Dego Ride sebagai sesuatu yang kreatif berkata, perkara itu perlu diteliti terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

"Kabinet tak ada kata setuju atau tidak setuju, belum ada rasmi mengenainya.

"Saya mahu melihat tekanan pasaran (Dego Ride) di luar sana sebagaimana yang berlaku pada Uber dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai isu Dego Ride selepas merasmikan Makmal Transformasi Bas Ekspres di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini, Isnin.

Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar dan Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah.

Nancy berkata, jika isu Dego Ride melibatkan banyak pihak terutama golongan muda dan berpendapatan pendapatan 40 teratus terendah (B40) yang dilihat sebagai satu keperluan bagi mereka.

“Saya rasa ini adalah keadaan yang perlu kita lihat dahulu. Ia terlalu awal untuk kita putuskan apa-apa, sama ada ya atau tidak,” katanya. 

Mengenai sama ada isu Dego perlu dikaji semula, Nancy berkata, ia perlu diteliti terlebih dahulu sebelum mengambil kira beberapa faktor.

"Macam Uber lah, kalau keperluan itu mendesak kita, ia merupakan model perniagaan yang baharu dalam Malaysia maka ia mungkin perlu dipertimbangkan," katanya.

Bagaimanapun Rabu lalu, dilaporkan Kabinet bersetuju dengan keputusan Kementerian Pengangkutan untuk mengharamkan perkhidmatan teksi motosikal 'Dego Ride' atas faktor keselamatan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj yang turut menyifatkan keputusan itu sebagai tindakan tergesa-gesa berkata, kehidupan isu rumah kira-kira 6,000 penunggang Dego Ride yang menjadikan perkhidmatan itu sebagai punca pendapatan terjejas.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, perkhidmatan Dego Ride menyalahi Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 serta Seksyen 16 dan 47 Akta SPAD. 

Pada Selasa lalu, Dego Ride mengarahkan kesemua penunggang motosikalnya menghentikan operasi serta-merta susulan arahan Kementerian Pengangkutan supaya pihaknya berbuat demikian serta-merta.

Tags / Kata Kunci: Nancy Shukri , Dego Ride , SPAD

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan