Usaha Malaysia Perangi Keganasan Dapat Keyakinan Dunia

Diterbitkan: Ahad, 19 Februari 2017 11:17 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Rangka kerja perundangan dan peraturan yang dilaksanakan Malaysia dalam memerangi pembiayaan keganasan, mendapat keyakinan dunia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, inisiatif peraturan yang berkaitan itu telah menyumbang kepada kestabilan sistem kewangan dan pembangunan ekonomi Malaysia.

Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 mewajibkan institusi kewangan mengemukakan dengan segera transaksi yang mencurigakan kepada unit risikan kewangan Bank Negara Malaysia, katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata pengganas memerlukan banyak sumber untuk mengendalikan kemudahan latihan, mendapatkan senjata dan melakukan perjalanan bagi menyemarakkan aktiviti keji mereka.

"Tanpa dana, mereka tidak akan mampu melaksanakan sebahagian besar aktiviti mereka."Jumlah serangan pengganas terus meningkat dan hubungan antara serangan demikian dengan pembiayaan keganasan pula adalah amat ketara," katanya.

Bagi mengukuhkan lagi pendapat beliau tentang isu itu, Ahmad Zahid berkata  untuk melemahkan dan menghapuskan keganasan, pihak berkuasa perlu menjejaki, mengurangkan dan menyekat aliran kewangan pertubuhan jenayah pengganas.

Beliau berkata hasil daripada komitmen yang ditunjukkan dan usaha berterusan yang dilakukannya untuk memperkemaskan lagi inisiatif pencegahan wang haram serta memerangi pembiayaan keganasan, tahun lepas, Malaysia diterima menganggotai Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF), sebuah badan penggubal dasar yang dibentuk pada 1989 oleh Sidang Kemuncak G-7 di Paris. 

Badan itu bertujuan meningkatkan pelaksanaan langkah perundangan dan peraturan secara berkesan dalam memerangi aktiviti pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan dan ancaman berkaitan terhadap keutuhan sistem kewangan antarabangsa.

"Masyarakat antarabangsa mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara anggota FATF yang komited secara serius terhadap usaha memerangi pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan," kata Ahmad Zahid. 

Menurut beliau, pengiktirafan itu akan mengukuhkan lagi kedudukan strategik Malaysia bagi memperoleh capaian lebih meluas terhadap pasaran kewangan global, khususnya pasaran modal.

Ini seterusnya akan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan dan perbankan yang mantap di peringkat serantau khususnya dan di peringkat dunia amnya, kata beliau.

Menyentuh ancaman kumpulan pengganas Islamic State di negara ini, Ahmad Zahid berkata Malaysia telah menggubal dua undang-undang pencegahan - Akta Pencegahan Keganasan (Pota) 2015 dan Akta Langkah-langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara (SMATA) 2015. 

Di samping itu, jelas beliau, Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman berat iaitu penjara hingga 30 tahun atau sepanjang hayat atau hukuman mati bagi kesalahan berkaitan keganasan.

"Malaysia amat tegas dalam menganjurkan peperangan global terhadap keganasan," katanya.

Mengenai langkah di peringkat serantau, beliau berkata Malaysia dan negara anggota Asean lain menjalin kerjasama erat dalam menangani perkara berkaitan keselamatan, termasuk isu keganasan.

Kata beliau, Malaysia juga menjadi pihak kepada kebanyakan konvensyen dan protokol antarabangsa mengenai usaha memerangi keganasan.-- Bernama 


Tags / Kata Kunci: Ahmad Zahid , G-7 , Pota

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan