Remaja Berbasikal Pula Kini Terjebak Dalam Budaya 'Mat Rempit'

Diterbitkan: Ahad, 19 Februari 2017 9:01 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kita semua boleh menarik nafas lega bahawa rakyat Malaysia tidak tinggal dalam apa yang dikenali dalam istilah geografi sebagai zon 'Lingkaran Api' yang terdedah kepada bencana alam seperti gempa bumi, siklon atau letupan gunung berapi.

Tetapi mari renung seketika dan lihat kepada statistik suram mengenai bencana buatan manusia, atau lebih khusus, jumlah pengguna yang maut di jalan raya iaitu purata 6,700 setahun dengan angkanya semakin meningkat.

Malaysia mempunyai antara nisbah pemilikan kereta yang tertinggi di dunia dan ditambah pula dengan rekod keselamatan jalan raya yang sangat buruk, walaupun pelbagai kempen keselamatan jalan raya dijalankan dan mempunyai agensi khusus iaitu Jabatan Keselamatan Jalan Raya yang dianggotai oleh pakar-pakar dan membelanjakan berjuta-juta Ringgit.

Bagaimanapun, dalam banyak-banyak nahas jalan raya di negara ini, tragedi pada 3 pagi Sabtu di Johor Bahru adalah yang paling menyayat hati apabila sebuah kereta merempuh kira-kira 30 hingga 40 remaja berbasikal, menyebabkan lapan maut dan lapan lagi cedera.

Remaja yang maut baru berusia 13 dan 16 tahun. Cuba bayangkan mereka menunggang basikal di laluan yang gelap dan berbukit di Jalan Lingkaran Dalam yang kebetulan berdekatan tanah perkuburan Islam.

Bagi penduduk Johor Bahru atau di bandar raya dan bandar lain yang sudah biasa menyaksikan aksi pelumba mat rempit, tragedi terbaru ini hanya menunggu masa untuk berlaku dan ia telahpun berlaku.

Walaupun kita merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang, terutamanya yang ada anak kecil dan cucu, namun kita tidak dapat mengelak perasaan kita daripada tersentuh oleh satu lagi tragedi jalan raya yang berlaku di tengah-tengah masyarakat.

Kita telahpun dilanda budaya 'Mat Rempit' yang unik di Malaysia, melibatkan remaja menunggang motosikal dengan sangat laju diselitkan aksi 'superman', lazimnya selepas tengah malam dan pada hujung minggu, yang memeningkan kepala anggota polis trafik.

Polis sudah tentu telah merampas beratus-ratus motosikal selama ini dengan harapan bahawa tindakan itu akan menghalang mereka daripada meneruskan aksi maut itu tetapi gejala itu berterusan.

Sekarang kita menyaksikan pula 'budaya' atau gejala baharu yang jelas menjelma dalam tragedi di Johor Baru.

Rakaman video menunjukkan remaja menunggang basikal yang diubah suai dikenali 'basikal nyamuk' menjadi viral di kalangan kumpulan WhatsApp sejurus selepas insiden di JB itu, dan apa yang dipaparkan itu sangat menakutkan.

Dalam video berkenaan, remaja berbasikal itu dilihat menunggang basikal di tengah-tengah jalan di bandar dalam aksi akrobatik tanpa menghiraukan keselamatan diri mereka sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Izinkan saya berkongsi satu posting dalam media sosial oleh seorang anggota polis trafik mengenai kegilaan terbaharu remaja ini ataupun gejala yang nampaknya tidak terkawal.

Maksud saya di sini adalah kawalan ibu bapa.

Dalam tragedi Sabtu, anggota polis itu menyatakan bahawa remaja terbabit bukan sahaja datang dari JB tetapi ada juga dari jauh, seperti Plentong, Masai, Tampoi, Kempas, Skudai, Tiram dan Kota Tinggi.

Mereka akan berkumpul di JB semasa hujung minggu dan tidak mengendahkan arahan polis supaya bersurai.

Ada ketikanya, anggota polis akan hilang sabar dan merampas sesetengah basikal itu agar mereka tidak mengulangi aksi berbahaya, bagaimanapun tindakan itu gagal memberi kesan.

Ada sesetengah remaja ini sehingga begitu berani memaki anggota polis trafik yang tergamam dengan aksi mereka menunggang bukan di laluan yang selamat tetapi di tengah-tengah jalan.

Ada antara kanak-kanak lelaki itu berusia 10 tahun.

"Kami telah cuba yang terbaik untuk memberi nasihat, bagaimanapun nasihat itu tidak diendahkan. Tetapi apabila tragedi seperti ini berlaku, saya pasti ramai akan menyalahkan polis kerana tidak mengambil tindakan tegas ke atas mereka. Kita tertanya-tanya di mana ibu bapa mereka?" menurut posting itu.

Susulan tragedi itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim sendiri berangkat menemui ibu bapa mangsa di rumah mayat Hospital Sultanah Aminah untuk memberi kata-kata bagi menenangkan mereka.

Ibu bapa remaja yang sanggup membahayakan nyawa dengan melakukan aksi berbahaya harus mengambil iktibar daripada pesanan Sultan Ibrahim apabila baginda bertitah: "Biar mereka yang menangis, jangan kita yang menangis. Saya pun ada anak, jadi saya tahu bagaimana rasanya".

Sultan Ibrahim kehilangan putera baginda, Tunku Abdul Jalil, 25, akibat kanser hati lebih setahun lalu.

"Saya terkejut dan berdukacita dengan kehilangan nyawa ini. Saya ingin mengingatkan ibu bapa supaya memantau anak mereka terutama aktiviti mereka pada waktu malam.

Sukar untuk memahami apa sebenarnya berlegar di dalam minda remaja-remaja ini yang langsung tidak menghargai nilai kehidupan.

Budaya baharu 'Mat Rempit' dengan menunggang basikal ini amat membimbangkan dan semua pihak perlu berusaha sedaya upaya untuk membanteras gejala itu sebelum lebih banyak tragedi ngeri berlaku. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: budaya Mat Rempit , remaja berbasikal

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan