Hormati Perasaan Ahli Keluarga Remaja Berbasikal Maut Dirempuh - Mei Fun

Diterbitkan: Ahad, 19 Februari 2017 10:08 PM

Ahli keluarga mengiringi jenazah salah seorang remaja yang maut, Muhammad Firdaus Danish M. Azahar, 14, untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh pada Sabtu. fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KLANG: Orang ramai perlu menghormati perasaan anggota keluarga lapan remaja berbasikal yang terbunuh dalam kemalangan pada awal pagi Sabtu dan berhenti menyalahkan mereka berikutan insiden berkenaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datin Paduka Chew Mei Fun berkata pada masa ini perkara yang perlu diberi keutamaan adalah memberi ruang kepada anggota keluarga mangsa untuk bertenang dan pulih berikutan kematian anak mereka.

"Kehilangan anggota keluarga terutamanya dalam kemalangan adalah amat menyedihkan dan kita perlu beri mereka ruang untuk pulih dan bukan menyalahkan mereka atas perkara yang terjadi.

"Orang ramai patut berhenti daripada menyalahkan mereka dan biar polis menjalankan siasatan bagi mencari punca kejadian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran seni, di sini Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tragedi lapan remaja berusia 13 hingga 16 tahun yang menunggang basikal, maut selepas dirempuh sebuah kereta di Johor Bahru dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi Sabtu.

Mei Fun, yang juga Naib Presiden MCA, turut menasihati ibu bapa agar mengawasi dan mengambil tahu aktiviti anak-anak mereka ketika bersama rakan-rakan ketika di luar.

Ketika ditanya sama ada kementeriannya melihat kes berkenaan turut melibatkan kecuaian ibu bapa, beliau berkata perkara itu akan ditentukan oleh polis.

"Apa juga hasil siasatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan melakukan apa yang perlu bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan anak-anak ini terjaga," katanya. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: remaja berbasikal , kemalangan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan