PRK Tanjong Datu: Lapan Pusat Mengundi Ditutup

Diterbitkan: Sabtu, 18 Februari 2017 2:22 PM

Pengundi berbaris menunggu giliran untuk membuang undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua, Lundu pada Sabtu. fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

LUNDU (Sarawak): Lapan daripada 16 pusat mengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu ditutup setakat pukul 1 tengah hari Sabtu.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 61 peratus daripada 9,771 pemilih yang layak mengundi pada Sabtu telah menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.

Empat pusat mengundi yang ditutup pada pukul 12 tengah hari ialah Sekolah Kebangsaan Telok Melano, Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Sarayan Selarat, Sekolah Kebangsaan Stoh, dan Balai Raya Kampung Rambungan.

Empat lagi yang ditutup pada pukul 1 tengah hari ialah Dewan Masyarakat Kampung Sungai Belian, Sekolah Kebangsaan Siar Campuran Kampung Bajo Lundu, Sekolah Menengah Kebangsaan Lundu dan Sekolah Kebangsaan Kampung Sempadi.

Proses pengundian sehingga kini berjalan lancar walaupun keadaan cuaca agak mendung sejak awal pagi.

Pada 12 Februari lepas, 188 pengundi, atau 1.9 peratus daripada 9,959 orang pengundi kerusi DUN Tanjong Datu, sudahpun menunaikan tanggungjawab mengundi di dua pusat pengundian awal.

PRK Tanjong Datu diadakan susulan kematian penyandang, yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lalu, di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.

PRN Sarawak ke-11 Mei lalu menyaksikan Adenan, 72, memperoleh 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi, yang hanya meraih 468 undi.

PKR awal-awal lagi mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRK ini.

Pilihan raya kecil ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amar Jamilah Anu, yang merupakan balu Adenan, calon Parti Reformasi Negeri Sarawak (STAR) Johnny Aput dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Rapelson Richard Hamit. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: PRK Tanjong Datu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan