PRU-14: SPR Buka Tender Beg Peti Undi

Diterbitkan: Jumaat, 17 Februari 2017 11:51 AM

Beg peti undi SPR. -Gambar fail

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Bahang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semakin dirasai apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mula membuat langkah persediaan dengan membuka tender kepada syarikat-syarikat yang berminat untuk membekal dan menghantar beg peti undi.

Selain tender untuk beg peti undi, pelawaan tender juga dibuka kepada mana-mana syarikat untuk membekalkan beg galas kegunaan pilihan raya yang akan digunakan oleh petugas-petugas SPR.

Berdasarkan iklan yang disiarkan di beberapa akhbar tempatan dan laman web SPR pada Khamis, syarikat-syarikat yang berminat boleh mengemukakan permohonan bermula 17 Februari hingga 9 Mac ini.

Difahamkan, anggaran sebanyak 20,000 beg peti undi diperlukan untuk PRU-14, selain 38,000 beg galas yang akan diberikan kepada petugas-petugas tertentu.

"Tidak semua petugas SPR akan mendapat beg galas, ia hanya diberikan kepada ketua tempat mengundi, satu saluran mengundi, satu beg," menurut SPR.

Tiada anggaran kos dinyatakan, tetapi difahamkan untuk pilihan raya kali ini, peruntukan bagi dua bekalan ini agak terhad dengan ciri-ciri beg peti undi yang digunakan pada PRU-13 dikekalkan.

Bagaimanapun, difahamkan SPR tetap akan memastikan beg-beg yang bakal dibekalkan menepati standard dan spesifikasi yang telah ditetapkan selain dapat berfungsi dengan baik.

Selepas tarikh tutup permohonan, beberapa jawatankuasa akan bersidang untuk membuat penilaian ke atas petender-petender sebelum keputusan tender yang berjaya diiklankan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata kos perbelanjaan PRU-13 adalah sebanyak RM400 juta dan seramai 235,000 petugas SPR telah terlibat dalam PRU lepas.

Tags / Kata Kunci: SPR , beg peti undi , beg galas , petugas SPR , tender SPR , PRU-14

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan