Indonesia Akan Bela Siti Aisyah - Jusuf Kalla

Diterbitkan: Jumaat, 17 Februari 2017 6:54 PM

Imej pasport yang disiarkan portal detikcom.

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Kerajaan Indonesia akan memastikan rakyatnya yang ditahan polis Malaysia berhubung kes pembunuhan lelaki Korea, Kim Jong-nam, mendapat pembelaan.

Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla yang menyifatkan penahanan suspek kedua kes pembunuhan Jong-nam, Siti Aisyah sebagai mangsa penipuan.

"Walaupun dia merupakan pelaku (pembunuh) tetapi dia juga merupakan mangsa, berdasarkan maklumat yang kita perolehi," kata beliau seperti dilaporkan portal detikcom.

Terdahulu, Jusuf Kalla percaya Siti Aisyah menjadi mangsa penipuan menerusi program realiti yang menjadi kaedah baharu pihak tertentu untuk mencari mangsa melakukan jenayah ke atas sasaran.

Sementara itu, Kementerian Luar Negara Indonesia menyatakan, Siti Aisyah memasuki Malaysia sebagai pelancong dan bukan berstatus Tenaga Kerja Indonesia (TKI).

Kementerian itu juga akan menyalurkan bantuan perundangan kepada Siti Aisyah tanpa mengira statusnya.

"Pasukan pembelaan Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur juga telah menyampaikan nota diplomati kepada kerajaan Malaysia untuk mendapatkan akses perundingan," jelas kementerian tersebut.

Tags / Kata Kunci: Kim Jong-nam , Siti Aisyah , Jusuf Kalla

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan