"Anak Saya Tahu Bahasa Korea, Inggeris" - Ibu Siti Aisyah

Diterbitkan: Jumaat, 17 Februari 2017 5:39 PM

BENAH menunjukkan gambarnya bersama Siti Aisyah. - Ihsan portal detikcom.

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Ibu kepada suspek pembunuh lelaki Korea, Kim Jong-nam mendakwa anaknya, Siti Aisyah boleh berbahasa Inggeris dan Korea, tidak seperti yang didakwa oleh bekas bapa mertua wanita itu.

Sebelum ini, bapa mertua Siti Aisyah, Tjia Liang Kiong mendakwa, wanita berusia 25 tahun terbabit tidak boleh bertutur bahasa Inggeris dan Korea.

Malah Liang Kiong juga menafikan kemampuan Siti Aisyah untuk menjadi perisik memandangkan dia tidak memiliki pendidikan tinggi.

Namun ibu Siti Aisyah, Benah menyatakan sebaliknya.

"Anak saya boleh bercakap bahasa Inggeris dan Korea," katanya kepada portal berita Indonesia, detikcom ketika ditemui di rumahnya di Kampung Ranca Sumur, Serang pada Jumaat.

Siti Aisyah merupakan antara dua wanita yang ditahan pihak berkuasa Malaysia kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Dia ditahan pukul 2 pagi pada Khamis secara berseorangan, sehari selepas seorang lagi suspek warga Vietnam, Doan Thi Huong ditahan ketika cuba melarikan diri dengan menaiki penerbangan ke luar negara.

Kedua-dua wanita itu direman selama tujuh hari bermula Khamis untuk membantu siasatan.

Jong-nam meninggal dunia selepas disembur racun oleh dua wanita ketika berada di kawasan balai pelepasan Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA) pada Isnin untuk menuju ke Macau.


Tags / Kata Kunci: Kim Jong-nam , Siti Aisyah , Benah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan