Kedutaan Indonesia Mahu Sahkan Identiti Siti Aishah - Berita Semasa | mStar

Kedutaan Indonesia Mahu Sahkan Identiti Siti Aishah

Diterbitkan: Khamis, 16 Februari 2017 5:32 PM

Imej pasport milik Siti Aishah yang disiarkan oleh portal Detik.news.com.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kedutaan Indonesia di sini telah menghubungi Kementerian Luar Malaysia bagi mendapatkan kebenaran untuk menemui wanita yang memegang pasport negara itu yang ditahan pagi tadi berhubung kematian Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara.

Menteri Penasihat Bahagian Informasi, Sosial dan Budaya kedutaan itu Trigustono Supriyanto berkata pertemuan itu bagi mengesahkan identiti wanita itu serta ketulenan pasport yang dimilikinya.

"Saya hanya menerima maklumat mengenai penahanan wanita itu yang memegang pasport negara kami menerusi aplikasi WhatsApp yang dihantar oleh rakan dan tiada makluman rasmi daripada pihak berkuasa Malaysia kepada kami.

"Sejurus selepas mendapat maklumat itu, kami telah berhubung dengan Kementerian Luar Malaysia dan sehingga kini, kami masih menunggu maklum balas daripada mereka," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya.

Katanya selagi tidak dapat menemui wanita itu, kedutaan tidak dapat mengesahkan identitinya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam satu kenyataan, berkata wanita bernama Siti Aishah dan dilahirkan di Serang, Indonesia, pada 11 Feb 1992 ditahan awal pagi Khamis dan suspek memegang pasport Indonesia.

Ia adalah wanita kedua ditangkap bersabit kematian Jong-nam susulan penahanan wanita dikenali sebagai Doan Thi Huong, 29, yang memegang pasport Vietnam di klia2 pada pukul 8.20 pagi Rabu.

Isnin lepas, Jong-nam yang menggunakan nama Kim Chol, dilaporkan berada di klia2 pada pukul 8 pagi untuk menaiki penerbangan ke Macau pada hari sama dan kemudian meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya setelah meminta bantuan di kaunter lapangan terbang berkenaan.

Tags / Kata Kunci: Kim Jong-nam , Siti Aisyah , Siti Aishah
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan