Wajah Suspek Perisik Korea Utara Disiarkan

Diterbitkan: Rabu, 15 Februari 2017 2:08 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berjaya merakamkan imej jelas yang menunjukkan wanita yang dipercayai seorang daripada dua suspek yang terlibat dalam pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Rakaman imej itu menunjukkan rupa jelas wanita tersebut yang berketurunan Asia dan pada usia pertengahan.

Wanita itu dilihat memakai baju tertera tulisan 'LOL' dan berskirt pendek selain menggalas beg tangan kecil.

Sementara itu, laporan portal The Telegraph mendakwa, dua suspek wanita yang terlibat dalam pembunuhan Jong-nam merupakan rakyat Vietnam dan berkhidmat sebagai perisik Korea Utara.

Portal tersebut yang memetik sumber keselamatan Malaysia mendakwa, pemandu teksi yang menumpangkan seorang daripada suspek juga telah ditahan.

Jelas laporan berkenaan, pemandu teksi yang enggan dinamakan itu berusia dalam lingkungan 30-an dan ditahan untuk membantu siasatan.

Jong-nam, 45, mati dibunuh menggunakan racun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Isnin.

Mangsa dipercayai diserang oleh dua perisik wanita yang menyemburkan racun di balai pelepasan kira-kira pukul 9 pagi pada hari kejadian.

Wanita terbabit kemudiannya dikesan melarikan diri menggunakan sebuah teksi.

Difahamkan, Jong-nam tiba di Malaysia dari Macau pada 6 Februari lalu dan mati dibunuh ketika mahu pulang semula ke negara tersebut.

Tags / Kata Kunci: Kim Jong-nam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan