DAP Menyimpang Daripada Perjuangan Asal

Diterbitkan: Isnin, 13 Februari 2017 7:00 AM

Empat Adun DAP yang mengumumkan keluar parti itu pada Ahad.

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Ahli dewan undangan negeri (Adun) Kesidang Chin Choong Seong mendakwa bahawa DAP sejak dua hingga tiga tahun lalu telah menyimpang daripada perjuangan asalnya.

Chin, yang keluar dari DAP pada Ahad berkata apa yang menariknya kepada DAP ialah perjuangan parti itu bagi konsep "Malaysian Malaysia" tetapi apa yang dilihatnya sekarang sama sekali adalah sebaliknya.

"Apa yang kita lihat sekarang ialah dalam usaha untuk meraih sokongan orang Melayu, DAP menuruti apa yang MCA lakukan sekarang.

"Saya rasa ini adalah satu pendekatan yang berbahaya dalam usaha untuk menarik sokongan orang Melayu," katanya kepada pemberita di sini Ahad.

Selain Chin, Adun lain yang keluar parti ialah Lim Jak Wong (Bachang) dan Goh Leong San (Duyong) serta anggota parlimen Kota Melaka Sim Tong Him.

Sim berkata, selepas mengkaji dan membuat pertimbangan sewajarnya, beliau telah hilang keyakinan dan sangat kecewa dengan kepimpinan DAP terutama Setiausaha Agung Lim Guan Eng dalam menangani isu-isu dalaman dan luaran parti.

"Saya tidak boleh menerima dan menyokong pendirian dan apa yang dikatakan haluan politik baharu yang diamalkan oleh DAP akhir-akhir ini. DAP telah melencong ke aliran dan haluan politik baharu," kata Sim.

Lim berkata, keputusannya untuk keluar parti tidak dibuat secara tergesa-gesa dan mereka membuat keputusan bersama selepas pertimbangan yang teliti dan wajar.

"Saya percaya keputusan saya akan diadili oleh rakyat dan menimbulkan pelbagai reaksi dan saya tidak menyalahkan mereka kerana mereka tidak memahami apa yang kita rasa. Kita akan cuba untuk memahami mereka.

"Dahulu apabila orang mengkritik DAP, saya akan mempertahankan imej DAP. Tetapi sekarang, saya telah membuat keputusan ini tanpa diselubungi sebarang  perasaan kepiluan," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: DAP , Adun , keluar parti

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan