Budiman Optimis Walau Industri 'Senyap'

Diterbitkan: Isnin, 13 Februari 2017 7:30 AM

Budiman Mohd Zohdi. -fotoTHESTAR

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tanpa berselindung, industri terjemahan diakui menjadi sebuah industri 'senyap' oleh orang kuat organisasi yang terlibat secara langsung dalam bidang itu.

‘Senyap’ yang dimaksudkannya tidak pula membayangkan bahawa industri ini, khususnya bidang terjemahan buku kian malap, sebaliknya ia mempunyai pengertian tersirat dengan satu gambaran lebih hebat yang tidak diketahui ramai.

“Industri ini adalah satu industri yang senyap, berkembang dalam senyap.

“Sebenarnya industri terjemahan ini sedang berkembang, setiap tahun jumlah mereka yang ingin jadi penterjemah semakin meningkat, karya-karya asli kita tidak ketinggalan mendapat perhatian negara luar untuk diterjemahkan,” demikian tegas Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) Budiman Mohd Zohdi dalam temuramah bersama mStar Online.




Dilantik memegang jawatan ini pada November lalu, Budiman tidak samar-samar apabila berbicara tentang organisasi ini yang jika dilihat dengan mata kasar, dulu dan kini, agak terpinggir daripada perhatian masyarakat.

Beliau sendiri mengakui hakikat ini, tetapi tetap optimis apabila berbicara tentang hala tuju ITBM yang cukup sinonim dengan medium ilmu dan bacaan yang bernama ‘buku’.

“Saya setuju apabila dikatakan promosi (ITBM) itu kurang. Tapi percayalah buku tetap ada peminatnya sendiri.

“Jika budaya membaca sudah hilang di Malaysia, kenapa setiap kali ada pesta buku dan Big Bad Wolf penuh saja dengan pengunjung,” beliau memberi contoh.

Budiman berkata, sejak ditubuhkan pada  1993, ITBM menggalas tanggungjawab sosial yang besar apabila karya asli negara dan karya terbitannya sebolehnya dibawa menembusi pasaran antarabangsa selain dalam masa yang sama perlu memikirkan soal keuntungan.



Dan, tanggungjawab itu menjadi lebih besar pada zaman sekarang bila mana teknologi menguasai setiap penjuru dunia.

“Kita bukan nak bersaing dengan mana-mana industri, kita ada tanggungjawab dari segi terjemahan,” katanya.

Tambahnya fungsi ITBM tidak hanya tertumpu kepada penterjemahan buku semata-mata sebaliknya turut menawarkan kursus penterjemahan dan pengeluaran sijil, khidmat penterjemah, terjemahan dokumentasi, penerbitan karya asli dan jualan buku.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Sungai Besar ini tidak panik kerana dua fokus utama ITBM iaitu pengantarabangsaan dan perkembangan komuniti yang telah ditetapkannya sebaik sahaja beliau melangkah masuk ke organisasi ini.

“Bila kita kata pengantarabangsaan maksudnya kita jual hak cipta kita ke syarikat antarabangsa.

“Ini gerak kerja baharu yang kita rasa penting, sesuai dengan keadaan negara kita pada hari ini yang nak dipromosikan ke luar negara.

“Fokus utama kita ialah bagaimana kita nak perkenalkan Malaysia menerusi buku, ada orang perkenalkan Malaysia melalui tourism, produk kita adalah buku, jadi kita perkenalkan Malaysia dengan buku,” katanya.

Dari segi perkembangan komuniti, ia mempunyai kaitan dengan fungsi ITBM yang menawarkan kursus-kursus penterjemahan.

Budiman amat menggalakkan masyarakat untuk mendaftar dengan ITBM sebagai penterjemah atau mengikuti kursus penterjemahan yang ditawarkan di mana ia akhirnya boleh menjadi satu sumber pendapatan.

“Bila dapat sijil ITBM, mereka boleh buat kerja-kerja terjemahan dari rumah, atau secara sambilan dengan kita atau organisasi lain…ramai sebenarnya mereka dalam industri ini secara ‘senyap’ sedang mendapat manfaat daripadanya,” katanya.

Budiman berkata setakat ini ITBM mempunyai lebih 1,000 penterjemah bukan tetap yang berdaftar dan tugas-tugas mereka disesuaikan mengikut kepakaran  dan bidang masing-masing.



Beliau bagaimanapun masih berpijak di bumi nyata dan sedar akan realiti tentang di mana kedudukan Malaysia pada masa kini dari segi membuat keputusan menterjemahkan sesuatu buku.

Jelasnya terjemahan buku-buku dibuat berdasarkan permintaan, kaji selidik pasaran dan hala tuju negara.

Dalam konteks ini Budiman menegaskan, adalah lebih mudah untuk memperkenalkan Malaysia kita ke peringkat antarabangsa dengan karya-karya seni dan sastera atau karya berkaitan bidang yang menjadi kepakaran Malaysia seperti isu halal dan kewangan islam.


“Kenapa kita tak buat buku sains dan teknolgi? Sebab ada negara yang lebih terkehadapan daripada kita,” katanya.

Sebagai contoh, pada masa ini ITBM telah memulakan gerak kerja terutamanya dengan rakan strategik di Jepun dengan menerangkan tentang isu halal, menyediakan dokumentasi dan buku-buku berkaitan isu Islam menjelang Olimpik 2020 di mana Jepun menjadi tuan rumah.

“Itu kita buat sebab kita perintis, jadi kita boleh bawakannya. Jepun misalnya sangat berminat dengan perkara-perkara ini,” katanya.



Budiman berkata, antara karya dalam negara yang telah diterjemah dan mendapat sambutan di peringkat antarabangsa termasuklah The Kampung Boy dan The Town Boy, siri Sang Kancil, Hikayat Raja Pasai, Tuhfat al-Nafis, Hikayat Hang Tuah dan karya-karya sasterawan negara Usman Awang.

Selain menterjemah buku-buku ke bahasa Inggeris, terdapat juga karya yang diterjemahkan ke dalam bahasa Sepanyol, Perancis, Jepun dan Mandarin.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan