Selepas Sungai Klang, Buaya Dikesan Di Sungai Semenyih

Diterbitkan: Sabtu, 11 Februari 2017 1:00 PM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Seekor lagi buaya dikesan dan kali ini di Sungai Semenyih, Selangor.

Pengarah Perhilitan Selangor, Abd Rahim Othman berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kehadiran reptilia itu pada awal minggu ini.

"Tinjauan kami mendapati buaya itu ada di kawasan paya berhampiran Sungai Semenyih," kata Abd Rahim sambil menolak ia haiwan sama yang dilihat di Sungai Klang pada Selasa.

Abd Rahim berkata, buaya itu tidak akan diganggu jika ia tidak membahayakan orang ramai.

Sementera itu, Penolong Kurator Zoo Negara, Herman Bernard berkata, reptilia itu akan terus berada di kawasan berkenaan  jika ia tidak diganggu.

"Biasanya jika buaya itu tidak diganggu, ia tidak akan menunjukkan dirinya kerana ia spesis yang tidak suka menarik perhatian," katanya.

Buaya itu yang dipercayai hidupan di air masin atau nama saintifiknya, Crocodylus Porosus dikesan pada Selasa berhampiran Jambatan Kota di sini.

Video yang menampakkan kelibat buaya kira-kira dua meter panjang itu sedang berenang di sungai itu viral di media sosial.

Menurut Herman, buaya hanya akan menyerang ketika berada di dalam air.

"Haiwan ini tidak akan menyerang di darat kerana tidak dapat bergerak pantas," katanya.

Katanya, langkah terbaik adalah dengan memindahkan buaya itu kerana tidak diketahui sama ada ia mendapat sumber makanan yang mencukupi di sungai berkenaan.

Selain itu, bekas penolong pengarah merangkap ketua veterinar Zoo Negara, Datuk Dr S. Vellayan berkata, mungkin juga buaya itu terlepas dari kawasan pemeliharannya atau dibuang di sungai itu.

"Ada juga yang menjadikan buaya sebagai haiwan pemeliharaan dan mungkin membuangnya kerana tidak dapat memeliharanya lagi," katanya.
Tags / Kata Kunci: Sungai Semenyih , buaya , Perhilitan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan