Anak Allahyarham Adenan Mungkin Pertimbang Mulakan Karier Politik

Diterbitkan: Sabtu, 11 Februari 2017 3:41 PM

Azizul Annuar (dua, kiri) membantu peniaga memasak mi goreng ketika melakukan tinjauan mesra di Pekan Lundu baru-baru ini. fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

LUNDU: Azzizul Annuar, anak bongsu Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, bersedia untuk memulakan karier dalam politik jika ia sudah ditakdirkan.

"Saya serahkan kepada takdir kerana kita hanya boleh merancang tetapi Allah yang akan menentukan.

"Jika jalannya sudah demikian untuk saya dan dilahirkan di dalam keluarga(yang menceburi dunia politik), saya akan teruskan," katanya ketika ditanya sama ada beliau akan mengikut jejak langkah ayahnya yang begitu terkenal dan ketua menteri Sarawak kelima yang meninggal dunia di Kuching pada 11 Januari.

Azzizul Annuar dan kakaknya Azzizah Jasmine, 33, ditemui ketika berkunjung ke Pusat Media yang diwujudkan Jabatan Penerangan untuk anggota media yang membuat liputan pilihan raya kecil, di pejabat Majlis Daerah Lundu.

Katanya beliau dan adik beradiknya berada di lapangan membantu kempen ibu mereka, Datuk Amar Jamilah Anu, yang dipilih sebagai calon Barisan Nasional.

Oleh kerana Jamilah masih berada dalam tempoh edah, anak-anaknya mewakili beliau semasa berkempen.

"Kami membahagi-bahagikan tugas untuk mewakili ibu. Jadi, setiap seorang ada program masing-masing," katanya.

Azzizul Annuar berkata walaupun beliau telah mengikuti ayahnya semasa berkempen dan menghadiri sesuatu majlis pada masa lepas, "untuk benar-benar berada di lapangan melakukan apa yang dibuatnya selama ini, ia adalah sesuatu yang mengagumkan".

"Secara jujur, ia adalah sesuatu yang sukar dan memerlukan banyak usaha untuk mempelajarinya," katanya.

Azzizul Annuar berkata beberapa penduduk kampung juga ada bertanya kenapa ibu mereka tidak hadir dan beliau terpaksa menjelaskan kepada mereka.

"Secara keseluruhannya, respons yang diterima sangat positif. Penduduk kampung berkata mereka masih menyimpan banyak kenangan manis bersama arwah ayah saya. Mereka berkata mereka begitu menghargai beliau atas perkara-perkara yang dilakukan beliau untuk mereka.

"Saya berharap, ia akan diterjemahkan dalam bentuk undi apabila tiba hari mengundi pada 18 Februari nanti," katanya.

Azzizul Annuar berkata ibu mereka akan menghubunginya setiap malam dan awal pagi untuk mengikuti perkembangan mereka.

Bagi Azzizah Jasmine, 33, perasaan beliau tersentuh apabila melihat kasih sayang dan sokongan penduduk di sini untuk ayah mereka.

"Ramai daripada mereka mendekati kami untuk memberitahu kami tentang begitu banyak sumbangan arwah ayah. Ia membantu saya menyedari betapa usaha ayah memberi kesan kepada mereka," katanya. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan