Kematian Tahanan: Lebih 10 Anggota, Pegawai Polis Disiasat

Diterbitkan: Jumaat, 10 Februari 2017 8:36 PM

(Ubah saiz teks)

KLANG: Lebih 10 anggota serta pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara sedang disiasat berhubung insiden seorang lelaki yang dilaporkan mati ketika dalam tahanan polis pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP Mohd Yusoff Mamat berkata setakat ini, tiada anggota atau pegawainya digantung tugas susulan kejadian itu kerana siasatan lanjut masih dijalankan.

Beliau juga berkata, dakwaan pihak tertentu kononnya terdapat lebam dan cedera pada tubuh mangsa iaitu S. Balamurugan, 44, tidak sepatutnya timbul selagi laporan bedah siasat tidak dikeluarkan pihak hospital.

"Kita tunggu sahaja apa hasil bedah siasat yang dijangka keluar minggu depan," katanya kepada pemberita selepas pertemuan dengan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Datuk Mah Weng Kwai di sini, Jumaat.

Pada Khamis, keluarga mangsa membuat laporan polis berhubung kematian Balamurugan dan meminta siasatan menyeluruh dilakukan untuk mengenal pasti punca kematiannya.

Dalam pada itu, Mah menggesa semua pihak supaya tidak membuat kesimpulan awal mengenai punca kematian mangsa yang dilaporkan ditahan pada Isnin lalu bagi siasatan kes jenayah.

Katanya, Suhakam sedang mengumpul maklumat daripada anggota dan pegawai polis berkenaan untuk mengenal pasti sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sehingga menyebabkan kematian Balamurugan. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan