Lega 'Bersatu' Semula Dengan Anjing Peliharaan

Diterbitkan: Khamis, 9 Februari 2017 10:02 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seorang ahli perniagaan akhirnya bertemu semula dengan anjing kesayangannya, Dutchess, selepas lebih dua tahun terpisah disebabkan dakwaan kes penderaan haiwan.

Millicent Ann Paul, 37, menangis sambil memegang anjing jenis Rottweiler miliknya itu, yang turut sama menunjukkan kegembiraan apabila bertemu dengan tuannya.

"Saya lega dan sangat gembira dapat membawanya pulang hari ini. Saya harap dapat hidup dengan lebih aman bersama Dutchess selepas ini," katanya ketika ditemui di Jabatan Perkhidmatan Veterinar daerah Petaling, Rabu.

Dutchess berada di bawah jagaan jabatan itu yang menuduh Paul mendera haiwan sejak 2014.

Paul, bekas pemilik kedai haiwan peliharaan, didakwa selepas kumpulan tindakan haiwan mengambil Dutchess, yang kini berumur lebih tiga tahun dari rumahnya di Kota Kemuning antara bulan Mac dan April 2014.

"Saya difitnah, gambar dan maklumat saya telah diletakkan dalam Facebook oleh kumpulan tersebut dan setiap hari orang ramai menghantar mesej kebencian kepada saya.

"Kurang setahun selepas Dutchess diambil daripada saya, perniagaan saya ditutup dan saya menghadapi kemurungan," kata Paul, sambil mengesat air matanya.

Beliau kemudian berpindah ke Australia selama setahun pada 2015 sebagai usaha melepaskan diri daripada terus dikecam, tetapi terus berjuang untuk mendapatkan Dutchess.

Ogos lalu, beliau telah dibebaskan daripada pertuduhan apabila Mahkamah Majistret memutuskan bahawa jabatan tersebut gagal membuktikan kes.

Dilaporkan bahawa Pasukan Penyelamat Haiwan Malaysia (Miar) telah mengambil Dutchess berikutan aduan daripada keselamatan kejiranan bahawa haiwan itu ditinggalkan di kawasan hartanah kosong.

"Mereka menuduh saya meninggalkan anjing saya sendirian, tetapi sebenarnya saya berada di kawasan sekitar. Saya sangat marah apabila mereka menceroboh masuk ke dalam rumah saya dan mengambil anjing saya," kata Paul, yang kini tinggal dengan ibunya.

Seorang doktor haiwan mengesahkan semasa ditemui, Dutchess yang berusia 10 bulan ketika itu kurang berat badan, demam dan berkurap.

Bagaimanapun, peguam Paul, V. Velvashini, berkata dua doktor haiwan lain kemudian mengesahkan kepada mahkamah bahawa keadaan anjing itu tidak boleh dikaitkan dengan dakwaan.

"Penyakit kurap adalah berulang dan pelanggan saya telah merawat anjingnya itu sejak Disember 2013.

"Ia didapati kekurangan zat dan kurus kerana demam, bukan kerana didera," kata Velvashini.

Ini adalah kali pertama jabatan tersebut kalah dalam kes penderaan haiwan. Ia mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi, tetapi ditolak bulan lepas.

Seorang pegawai dari jabatan itu, yang enggan dikenali berkata, bukti tuduhan terhadap Paul tidak cukup kuat, sambil menambah terdapat banyak isu teknikal yang berlegar sejak Dutchess diambil daripada pemiliknya.

Beliau juga mengakui bahawa Miar tidak mempunyai kuasa untuk masuk ke rumah Paul dan mengambil anjingnya.

iklan

Video

Jumaat, 21 Julai 2017 3:00 PM

Nadzmi Adhwa Bolot Semua 'Job'

Jumaat, 21 Julai 2017 11:09 AM

Lagak Lelaki Ini Seperti…

Jumaat, 21 Julai 2017 9:00 AM

#akuStar: iR Radzi - Cinta Terakhir

Khamis, 20 Julai 2017 3:30 PM

Luahan Ezlynn Beraya Tanpa Zuriat

Khamis, 20 Julai 2017 12:30 PM

Diana Muntah, Mabuk Teruk - Zamarul

Rabu, 19 Julai 2017 5:00 PM

Sauk Jangan Tak Sauk...

Rabu, 19 Julai 2017 3:27 PM

Beraksi 'Ghairah'? OK Je Kalau...

Rabu, 19 Julai 2017 1:20 PM

Ulat Buku Naik Superbike

Kolumnis

iklan

Iklan