EAIC Siasat Kes Kematian Tahanan Di IPD Klang Utara

Diterbitkan: Khamis, 9 Februari 2017 2:03 PM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan menjalankan siasatan ke atas kematian seorang tahanan di lokap Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Utara, Selangor, Rabu.

Pengerusi EAIC, Datuk Yaakob Md Sam, dalam kenyataan pada Khamis berkata, menurut laporan portal, mangsa S. Balamurugan, 44, telah disahkan meninggal dunia pada pukul 6 pagi semalam, tiga hari selepas ditahan di IPD berkenaan.

Katanya, satu pasukan khas telah ditubuhkan di bawah Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) untuk menjalankan siasatan kes itu dengan serta-merta.

Katanya, menurut ahli keluarga mangsa yang membuat pengecaman mayat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, muka mangsa mengalami lebam yang teruk dan berdarah.

Mangsa juga turut mengalami pendarahan yang sama (di mulut) dan muntah darah ketika dibawa ke mahkamah untuk direman pada Selasa lepas, katanya.

Katanya, peguam yang mewakili keluarga mangsa, Gerard Lazarus, turut menyatakan meskipun ahli keluarga telah memohon untuk mendapatkan rawatan segera di hospital, mangsa tetap dibawa untuk penahanan semula di IPD tersebut.

Yaakob berkata skop dan terma rujukan siasatan EAIC adalah mengenal pasti sama ada terdapat sebarang salah laku termasuk pelakuan bersifat jenayah oleh polis semasa mengendalikan tahanan dan berkaitan kematian tahanan tersebut.

Menurutnya, EAIC juga akan menyiasat sekiranya ada peruntukan undang-undang, peraturan, kaedah, prosedur operasi standard (SOP) dan arahan tetap yang berkaitan dengan pengurusan dan pengendalian orang tahanan yang telah diingkari.

Katanya, EAIC memandang serius kejadian ini susulan kematian seorang tahanan, Soh Kai Chiok, 49, di lokap IPD Bera, Pahang, pada 18 Januari lepas.

"Maka dengan ini, siasatan akan dijalankan dengan telus, bebas prejudis dan tidak sama sekali berpihak kepada sesiapa," katanya.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: EAIC , Yaakob Md Sam , IPD Klang , Balamurugan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan