Denggi: Sembilan Atlet, Seorang Kakitangan MSN Stabil

Diterbitkan: Rabu, 8 Februari 2017 8:07 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sembilan atlet dan seorang kakitangan Majlis Sukan Negara (MSN) yang dirawat akibat denggi dilapor berada dalam keadaan stabil dengan enam daripada mereka dirawat sebagai pesakit luar, manakala tiga lagi masih dirawat di hospital.

Unit Komunikasi Korporat Kementerian Belia dan Sukan dalam satu kenyataan media bersama MSN berkata, atlet yang masih menerima rawatan ialah seorang atlet renang berirama yang dirawat di Hospital Seremban manakala dua atlet berbasikal masing-masing dirawat di Hospital Serdang dan Hospital Shah Alam.

Seorang kakitangan MSN yang masih dirawat di Hospital Serdang juga berada dalam keadaan stabil.

Menurut kenyataan itu, pemantauan secara mingguan dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan dan semua zon yang mempunyai kes denggi meneruskan kerja-kerja pembersihan 'larvaciding' dan 'fogging' secara berkala sebagaimana sepatutnya.

"Zon berkenaan adalah zon satu melibatkan kawasan MSN dan Institut Sukan Negara (ISN), zon dua (kawasan tapak pembinaan Bandar Sukan Kuala Lumpur), zon tiga (Sekolah Sukan Bukit Jalil), zon empat (kawasan tapak pembinaan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia) dan zon lima (sekitar Sungai Kuyoh)," katanya.

Kawasan liputan pembanterasan diperluaskan lagi dengan kewujudan zon enam yang meliputi Bukit Komanwel, Extreme Park, Lapangan Golf Kompleks Sukan Negara dan Auto City.


Tags / Kata Kunci: denggi , atlet , MSN

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan