Batal Sidang Media Bukan Kerana Terima Arahan - RSC

Diterbitkan: Isnin, 6 Februari 2017 6:03 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kelab Raja Selangor (RSC) menafikan dakwaan pihaknya membatalkan sidang media Datuk Zaid Ibrahim yang dijadualkan berlangsung di situ kerana mendapat arahan pihak tertentu.

Pengurus Besar RSC, Ramesh Menon berkata, ahli kelab itu boleh menempah bilik untuk acara sosial atau sukan  sahaja, sekali gus bermaksud sidang media tidak menepati syarat yang ditetapkan.

"Ahli kelab telah memaklumkan mengenai sidang media itu yang dirancang diadakan pada 7 Februari.

"Bagaimanapun, oleh kerana ia bukan acara sosial atau sukan, tempahanya dibatalkan seiring dengan dasar dan prosedur operasi kelab.

"Apa pun perkara ini adalah hal dalaman kelab dan pihak ketiga tidak sepatutnya campur tangan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ramesh berkata, Zaid telah dimaklumkan mengenai keputusan jawatankuasa kelab itu menerusi telefon dan juga surat rasmi.

"Tiada komunikasi atau apa saja antara kelab dan ahli kelab atau bukan ahli berkaitan hal ini," katanya.

Sebelum ini, Zaid mendakwa kelab itu mendapat arahan supaya membatalkan sidang medianya  yang dijadualkan  berlangsung di kelab itu bagi mengumumkan keputusannya untuk menyertai DAP pada Selasa.

Susulan pembatalan itu, Zaid memutuskan untuk mengubah lokasi sidang media berkenaan ke kediamannya di Tropicana Country and Golf Resort 

Zaid yang juga bekas ahli PKR dan Parti Kita merancang untuk kembali aktif dalam polis dengan menyertai DAP.

Menerusi jemputan yang diedarkan untuk sidang media itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan penasihat parti itu, Lim Kit Siang dijangka hadir, selain bekas perdana menteri yang juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan penasihat DAP, Lim Kit Siang.





Tags / Kata Kunci: RSC , Zaid Ibrahim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan