Masjid Di Bangsar Anjur Rumah Terbuka Tahun Baru Cina

Diterbitkan: Ahad, 5 Februari 2017 9:59 AM

Ibrahim menghulurkan buah limau mandarin kepada tetamu yang hadir. foto AZHAR MAHFOF/The Star

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sebuah masjid di Bangsar memutuskan untuk mengadakan rumah terbuka Tahun Baru Cina bagi meraikan kepelbagaian etnik di negara ini.

Pada awalnya penganjur hanya menyasarkan 100 hingga 150 tetamu tetapi mereka terkejut dengan sambutan luar biasa apabila 400 hadir ke majlis tersebut.

Dalam majlis itu, masyarakat beragama Islam dilihat seronok menjamu selera bersama dengan rakan bukan Islam yang lain.

Majlis yang berlangsung selama dua jam di sebuah dewan di dalam masjid tersebut menyaksikan tetamu menikmati hidangan kegemaran rakyat Malaysia iaitu rendang, ketupat dan nasi minyak serta buah limau mandarin.

Kebanyakan tetamu yang hadiri memakai baju batik dan baju kurung berwarna merah.

Pengerusi Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Datuk Ibrahim Thambychik berkata beliau mahu mengadakan majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina untuk menunjukkan bahawa masjid merupakan tempat terbuka yang mengalu-alukan kehadiran sesiapa sahaja.

"JIka anda lihat sejarah Islam, masjid mempunyai banyak fungsi. Selain untuk solat, ia boleh digunakan sebagai pusat sosial untuk umat Islam dan bukan Islam," katanya.

Memandangkan ini adalah kali pertama masjid tersebut mengadakan sambutan Tahun Baru Cina, Ibrahim berkata majlis rumah terbuka merupakan peluang terbaik kepada umat Islam dan bukan Islam di kawasan kejiranan tersebut untuk beramah mesra antara satu sama lain.

Berikutan sambutan yang menggalakkan dari masyarakat setempat, beliau merancang untuk mengadakan semula majlis tersebut tahun depan.

Ustaz Mohd Bukhai Hakah berkata mereka menjangkakan kehadiran kira-kira 100 hingga 150 tetamu tetapi menganggarkan seramai 400 yang hadir berdasarkan jumlah makanan yang dihidangkan.

Presiden Persatuan Penduduk Bangsar Baru, Datuk George Joseph percaya ia adalah kali pertama sebuah masjid menganjurkan majlis sambutan Tahun Baru Cina di negara ini.

Mohd Willieuddin Lim, seorang mualaf yang menghadiri kelas agama di masjid tersebut berkata, kebanyakan rakan-rakannya terkejut apabila dia menghantar jemputan dari masjid: "Bolehkah? Mereka bertanya kepada saya."

Lim berkata dia masih meraikan sambutan Tahun Baru Cina selepas memeluk agama Islam sedekad yang lalu kerana ia merupakan majlis meraikan budaya masyarakat Cina.

Salah seorang tetamu yang hadir, Collin Swee, 49, berkata ia satu majlis yang amat bermakna bagi dirinya.

"Saya rasa majlis ini amat bermakna. Ia amat diperlukan ketika ini kerana kita terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

"Langkah yang digunakan penganjur majlis hadir tepat pada masanya. Kami memerlukan lebih banyak cara sebegini untuk menyatukan rakyat," kata Swee.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Dakwah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Maizura Shamsuddin turut menyokong penganjuran majlis tersebut.

Sementara itu, bekas pelakon Shila Lama Abdullah yang hadir pada majlis itu berkata ia merupakan satu peluang yang baik untuk memupuk semangat muhibah di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.









iklan

Kolumnis

iklan

Iklan