Kad Ceria Wilayah Bantu Tangani Beban Kenaikan Harga Barang

Diterbitkan: Ahad, 5 Februari 2017 1:55 PM

Tengku Adnan Tengku Mansor.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan akan melancarkan semula Kad Komuniti Ceria iaitu kad diskaun pembelian barangan dan penggunaan perkhidmatan agensi di bawahnya dengan nama baharu, Kad Ceria Wilayah.

Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata penjenamaan semula kad diskaun bagi mengurangkan beban perbelanjaan harian pengguna di Wilayah Persekutuan itu akan dilancarkan pada 1 Mac ini.

"Kad ini sudah ada tetapi tidak berfungsi dengan baik dan sebab itu kita akan keluarkan semula dengan nama dan fungsi yang ditambah bagi membolehkan warga Wilayah Persekutuan membeli barangan keperluan dengan harga berpatutan.

"Kita tahu kekangan hidup yang dihadapi rakyat dan ini satu kaedah yang kita fikirkan boleh membantu mengurangkan bebanan mereka," katanya selepas melancarkan Pertandingan Memancing Putrajaya di sini Ahad.

Pertandingan disertai 2,600 orang sempena sambutan Hari Wilayah yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000 itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan Datuk Seri Adnan Md Ikshan.

Dilancarkan pada Februari 2015, Kad Komuniti Ceria menawarkan potongan diskaun barangan tertentu bagi pembelian di 2,000 kedai membabitkan 70 rakan niaga yang mengambil bahagian.

Tengku Adnan berkata kementeriannya juga akan menambah baik aplikasi mudah alih 1WPrice bagi memastikan applikasi yang memuatkan maklumat mengenai kedai yang menawarkan harga berpatutan di ibu negara, Labuan dan Putrajaya, dimanfaatkan sebaiknya oleh masyarakat.

Beliau berkata walaupun telah hampir tiga tahun dilancarkan, aplikasi bertujuan memudahkan penduduk membuat perbandingan harga itu masih belum dimanfaatkan sepenuhnya dan ia perlu dinaik taraf dan dilancarkan semula.

"Selain mengetahui harga barangan yang murah, pengguna boleh berkongsi maklumat harga patut dan lokasi kedai di laman sosial apabila aplikasi berkonsepkan portal belian barangan itu dipasang di telefon pintar masing-masing," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) mempersoalkan tindakan 'melatah' DAP yang mentadbir Pulau Pinang berhubung ideanya menjadikan Pulau Pinang sebahagian Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata selain memastikan limpahan pembangunan yang sama rata serta keprihatinan terhadap nasib Melayu di negeri itu, cadangan itu jika direalisasikan akan menjadikan hasrat pemilikan rumah dalam kalangan orang Melayu yang kini sekadar 'mampu tengok' boleh menjadi kenyataan.

Katanya kerajaan Pulau Pinang membiarkan rumah dijual dengan harga yang tidak mampu dibeli rakyat, malah tiada inisiatif mengatasi kenaikan harga pemaju berbanding yang dilakukan kerajaan BN yang bertindak menjadi 'game changer' kepada harga rumah dan hartanah.

Menurut Adnan, Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA), Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan, berjaya memastikan pemaju tidak lagi sewenang-wenangnya menjual rumah pada harga terlalu tinggi kerana rakyat disediakan pilihan lain oleh kerajaan BN.

"Kalau BN boleh lakukan, sudah pasti Pulau Pinang juga boleh buat...jadi saya hairan kenapa DAP perlu meloncat dalam isu ini. Apakah mereka sudah menjadi seperti siapa makan cili dia yang terasa pedasnya," katanya.

Selain Pulau Pinang, Tengku Adnan berkata idea beliau sendiri selaku Menteri Wilayah Persekutuan itu turut melibatkan Langkawi, Pulau Tioman, dan sebahagian Melaka. - BERNAMA

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan