"Saya Hanya Mampu Lihat Kakak, Adik Dan Ain Lemas" - Adik Mangsa

Diterbitkan: Ahad, 5 Februari 2017 8:07 AM

Ahli keluarga mangsa terpaksa dipapah ke lokasi penemuan mayat tiga kanak-kanak yang lemas di kolam bekas lombong bauksit di Taman Sungai Karang Jaya pada Sabtu. fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: "Saya dah larang kakak daripada mengambil seluar saya yang tertinggal dalam kolam itu, tetapi dia tetap berdegil sebelum kakak jatuh dan lemas," kata Mohamad Aiman Hakimi Zuhairi.

Mohamad Aiman, 10, adalah adik kepada Salsabila, 12, yang lemas di kolam bekas lombong bauksit bersama adik mereka Mahathir Mohamad, 7, dan rakan Nureen Ain Juwita Mohd Sharif, 10.

Menceritakan semula detik-detik sebelum kejadian malang pukul 5 petang itu, Mohamad Aiman berkata, kesemua mereka seramai tujuh orang kali pertama datang bermain di kawasan berkenaan.

"Saya kemudian ternampak getah dan cuba mengambilnya sebelum terjatuh di dalam kolam. Ketika itu saya sendiri hampir lemas, tapi berjaya menyelamatkan diri dengan berenang keluar.

"Tetapi seluar yang saya pakai pula tertanggal menyebabkan kakak cuba mengambilnya," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini malam Sabtu.

Bagaimanapun, katanya ketika cuba mengambil seluar itu kakaknya telah tergelincir dan jatuh ke dalam kolam itu sebelum lemas menyebabkan Nureen Ain dan adik lelakinya Mahathir cuba menyelamatkan kakaknya, namun mereka sendiri akhirnya turut lemas.

Mohamad Aiman berkata dia sendiri tidak menyangka hanya mampu melihat seorang demi seorang adik-beradiknya dan rakannya lemas tanpa berbuat apa-apa akibat terkejut.

Mereka kemudian berlari ke rumah penduduk di kawasan yang berhampiran untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, ayah kepada Nureen Ain Juwita, Mohd Sharif Awang Ngah, 50, berkata, beliau tidak menyangka satu-satunya anak perempuan yang juga anak bongsunya itu akan pergi bermain di kawasan itu.

"Sebelum kejadian itu Nureen Ain Juwita pergi ke rumah datuknya di Taman PSJ kira-kira lima kilometer dari rumah kami Kampung Sungai Karang.

"Nureen dihantar oleh abangya menaiki motosikal. Dia memang selalu ke rumah datuknya bila cuti sekolah," katanya, seorang pengawal keselamatan.

Mohd Sharif berkata beliau hanya mengetahui kejadian menimpa anaknya itu daripada penduduk kampung di situ sekitar 6.30 petang ketika sedang memasang siling di rumahnya.

Sementara itu, seorang saksi yang juga penduduk di Taman Sungai Karang Jaya Zam Abdul Rahman, 37, antara orang terawal sampai di tempat kejadian berkata beliau dimaklumkan tentang kejadian itu oleh salah seorang kanak-kanak terlibat.

"Kanak-kanak itu memaklumkan kawannya lemas dan apabila saya tiba di sana mayat kedua beradik itu telahpun berjaya dibawa keluar oleh penduduk yang tiba lebih awal.

"Saya cuba memberi bantuan pernafasan kedua mangsa tersebut tetapi tidak berjaya dan apabila mengetahui Nureen Ain Juwita masih di dalam kolam, saya bergegas pulang ke rumah mengambil jaket keselamatan dan kembali untuk cuba mengeluarkan mayat mangsa," katanya.

Katanya, kolam itu agak dalam sehinggakan beliau sendiri hampir tenggelam.

Mayat Nureen Ain Juwita berjaya ditemui di dasar kolam itu setelah tersentuh kepala mangsa dengan kakinya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: lemas , lombong bauksit

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan