PM Najib Rasmi Hub Nelayan LKIM Sungai Sembilang

Diterbitkan: Jumaat, 3 Februari 2017 12:00 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melihat ikan tuna sambil diberi penerangan oleh Anggota Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (dua, kiri) di gerai Imran Muhamad, 60, (dua, kanan) dan isteri Junaidah Sukardi, 56 (tiga, kanan) ketika meninjau aktiviti nelayan di Pangkalan Nelayan Sungai Sembilang, Jumaat.

(Ubah saiz teks)

KUALA SELANGOR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan Hub Nelayan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Sembilang sempena program Jom Bantu Rakyat Kuala Selangor, di sini.

Hub nelayan yang berfungsi sebagai pusat kegiatan perikanan untuk nelayan setempat itu merupakan penjenamaan semula pangkalan nelayan Sungai Sembilang yang beroperasi sejak dua tahun lepas.

Pada program sama Najib turut menyampaikan replika cek elaun sara hidup nelayan berjumlah RM3.28 juta bagi dimanfaatkan oleh 951 warga nelayan daerah Kuala Selangor.

Bantuan yang akan diagihkan secara elaun bulanan selama setahun itu diterima Pengerusi Persatuan Nelayan Kampung Sungai Sembilang Kamaruddin Saraf.

Terdahulu, Najib sempat meluangkan masa bersarapan dengan warga nelayan di daerah itu di jeti LKIM Sungai Sembilang.

Najib yang diiringi Pengerusi LKIM Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim tidak melepaskan peluang menikmati kuih lempeng, iaitu antara pilihan 'pengisi perut' warga nelayan di daerah itu selain nasi lemak dan kuih tradisional Melayu, sebelum turun ke laut.

Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 20 minit bersama golongan itu.

Turut sama Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar serta anggota-anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional Selangor.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjamu selera di Atok Asam Pedas sambil beramah mesra dan mendengar keluhan penduduk sekitar Pangkalan Nelayan Sungai Sembilang sempena pogram Jom Tolong Rakyat Parlimen Kuala Selangor, Jumaat. Turut hadir Anggota Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim (kanan).

Perdana Menteri kemudian meluangkan masa bersemuka dan bertanya khabar dengan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Sungai Sembilang.

Pada sesi pertemuan selama 15 minit itu Pengerusi JKKKP Sungai Sembilang Muhammad Radzi Mahmud sempat membangkitkan keperluan kemudahan awam di kawasan berkenaan kepada Perdana Menteri.

Muhammad Radzi ketika ditemui kemudian, berkata kemudahan awam seperti Pusat Transformasi Luar (RTC) dilihat perlu dibina di kawasan itu memandangkan ia merupakan pusat setumpu yang mempunyai pelbagai agensi penguatkuasaan.

Pesisir pantai kawasan ini amat memerlukan penguatkuasaan yang lebih kerana nelayan terdedah kepada ancaman bot pukat tunda, penggunaan jaring yang mengganggu hasil laut selain aktiviti curi benih kerang.

"Oleh itu, kami memerlukan kehadiran Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di kawasan ini selain bantuan bot pelancong untuk aktiviti pelancongan tani serta dana untuk koperasi," katanya.

Difahamkan kewujudan RTC itu boleh memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk kampung tersebut selain dua kawasan berdekatan iaitu Kampung Tambak Jawa dan Jeram.

Sebelum mengakhiri lawatan di kawasan berkenaan, Najib sempat melawat gerai-gerai ikan dan hasil laut di pangkalan Sungai Sembilang sebelum bergerak ke Ijok bagi sesi bertemu rakyat.

Sementara itu, nelayan yang ditemui semasa program berkenaan melahirkan rasa terharu dan berterima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinan kerajaan persekutuan terhadap nasib mereka.

Sulaiman Abu Bakar, 58, berkata bantuan sara hidup yang diberi oleh kerajaan kepada nelayan amat membantu mereka terutama ketika musim tengkujuh atau cuaca buruk.

"Nelayan ini bergantung kepada cuaca, cuaca elok bolehlah ke laut, duit bantuan ini betul-betul membantu dari segi perbelanjaan kami jika tidak dapat turun ke laut," katanya yang sudah 20 tahun menjadi nelayan.

Bagi Abdul Rashad Abdul Jalil, 63, pula bantuan sara hidup yang disalurkan kepada nelayan itu menunjukkan kerajaan persekutuan amat mendahulukan rakyat dan sering prihatin terhadap nasib nelayan yang berpendapatan tidak menentu.

Katanya walaupun bantuan sara hidup yang diberikan bukan satu jumlah yang besar, ia amat bermakna bagi para nelayan terutamanya ketika cuaca buruk dan tidak dapat turun ke laut.

"Bantuan sara hidup dan pelbagai bantuan lagi yang diberi oleh kerajaan persekutuan kepada kami adalah amat dihargai," katanya kepada Bernama.

Tags / Kata Kunci: Najib , LKIM , Sungai Semilang

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan