Saya Tidak Lari - Annuar Musa

Diterbitkan: Khamis, 2 Februari 2017 11:00 PM

(Ubah saiz teks)

SEPANG: Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak lari daripada disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Annuar berkata, walaupun Mara mahu menjalankan siasatan dalaman ke atas beliau tetapi dikhuatiri akan lebih banyak tuduhan membabitkannya.

"Saya sendiri sukarela (disiasat). Saya ada pendirian saya sendiri.

"Bagi saya, elok SPRM atau PDRM (Polis DiRaja Malaysia) siasat saya, dan saya akan beri kerjasama penuh. Saya tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan.

"Saya bekerja untuk pasukan bola sepak Kelantan sebagai tanggungjawab saya. Saya bekerja dalam Mara sebagai tanggungjawab saya, dan saya menjaga integriti dan amanah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Khamis malam.

Penerbangan Malaysia Airlines MH130 yang dinaiki Annuar tiba di tanah air kira-kira pukul 9.20 malam.

Annuar berkata, beliau akan tampil ke ibu pejabat SPRM, Putrajaya pada kira-kira pukul 8 pagi Jumaat untuk membantu siasatan.

Annuar bagaimanapun berkata, tindakan beliau sukarela disiasat SPRM bukan bermakna mahu menunjukkan diri tidak bersalah.

Sebaliknya beliau menegaskan bahawa ia bertujuan untuk mempertahankan diri sebenarnya tidak bersalah.

"SPRM ada cara mereka, kita kena hormati. Saya tak mahu kata saya 'in denial'.

"Saya beri kerjasama, maklumat yang diperlukan. Salah tak salah, bukan saya tentukan. Saya serah bulat-bulat diri saya kepada SPRM," katanya.

Ditanya mengenai jawatannya sebagai Ketua Penerangan Umno, Annuar berkata, beliau perlu mengadakan pertemuan dengan presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya mengucapkan terima kasih di atas kenyataan presiden bahawa kedudukan saya kekal. Saya sangat menghargai. 

"Saya perlu berjumpa (dengan presiden) tetapi kena jumpa SPRM dahulu," katanya. 

Selasa lalu, Annuar diminta 'bercuti sementara' sebagai Pengerusi Mara dan Pelaburan Mara Berhad (PMB) berkuatkuasa serta-merta bagi membolehkan siasatan dalaman diadakan berhubung isu penajaan Mara kepada Kafa.

Isu berkenaan tercetus selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa Mara dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mengeluarkan dana bagi menaja The Red Warriors (TRW).

Bagaimanapun, Annuar menafikan kedua-dua agensi itu dipaksa menaja pasukan berkenaan, sekali gus menolak kemungkinan wujud salah guna kuasa.

Tags / Kata Kunci: Annuar Musa

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan