SAR Kesan Mangsa Bot Karam 24 Jam Tanpa Henti

Diterbitkan: Isnin, 30 Januari 2017 10:09 PM

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

KOTA KINABALU: Usaha mencari dan menyelamat (SAR) empat pelancong warga China dan seorang kru mangsa bot yang karam pada Sabtu akan dijalankan 24 jam tanpa henti, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). 

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Seri Ahmad Puzi Kahar berkata, untuk tujuan itu, pasukan mencari dan menyelamat dibahagikan kepada dua pasukan.

"Hari ini, operasi menggunakan 20 aset laut dan udara termasuk dua aset pasukan pihak berkuasa Brunei yang melakukan carian di kawasan berkeluasan 2,000 batu persegi, katanya dalam sidang media di sini, Isnin.

Beliau bertemu pemberita selepas kembali dari menyertai SAR bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim. 

Mengulas lanjut, Ahmad Puzi berkata kira-kira 350 anggota terlibat secara langsung dalam operasi berkenaan.

Ditanya mengenai kapasiti bot yang karam itu, Ahmad Puzi berkata, kenyataan mengenainya hanya akan dibuat selepas siasatan menyeluruh dijalankan.

"Keutamaan kita sekarang ialah mencari dan menyelamatkan nyawa," katanya. 

Sementara itu, Ahmad Puzi menasihatkan pengusaha bot pelancong agar sentiasa mematuhi syarat lesen yang dikeluarkan dan orang ramai perlu membuat aduan kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui ada pengusaha gagal memenuhi syarat lesen ditetapkan.

Bot jenis katamaran yang membawa tiga anak kapal dan 27 pelancong dari China itu dilaporkan karam disebabkan angin kencang dan ombak besar pada Sabtu semasa dalam perjalanan ke Pulau Mengalum.

Semalam, 22 mangsa termasuk tekong dan seorang anak kapal berjaya diselamatkan manakala tiga lagi ditemukan lemas. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan