Pakar Akan Kaji Semula Data Kehilangan MH370

Diterbitkan: Khamis, 26 Januari 2017 3:30 PM

(Ubah saiz teks)

BENTONG: Walaupun pencarian Malaysia Airlines MH370 di selatan Lautan Hindi digantung, pasukan pakar akan meneliti laporan bagi mengesan bangkai pesawat itu, kata Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Walaupun telah menggantung pencariannya, Malaysia, China dan Australia akan terus bekerjasama untuk mencari MH370.

"Operasi itu digantung untuk membolehkan pasukan pakar meneliti semula data pencarian laut dalam dan kedudukan serpihan pesawat yang ditemui.

"Kami mahu mengumpul data terbaharu termasuk data satelit," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas kempen keselamatan jalan raya di kawasan Rawat dan Rehat Genting Sempah pada Khamis.

Sepanjang pencarian selama dua tahun itu didapati bangkai pesawat itu sebenarnya tidak terletak pada kedudukan kawasan pencarian seluas 120 kilometer persegi.

"Pencarian sebelum ini membuktikan bahawa bangkai pesawat itu tidak berada di kawasan berkenaan. Jadi kami akan hanya meneruskan pencarian di lokasi baharu selepas yakin di mana kedudukan pesawat itu.

"Ketika ini, kami tidak mempunyai data lokasi sebenar pesawat berkenaan kerana apa yang pasukan pakar maklumkan hanya kawasan di mana pesawat itu mungkin berada," katanya. 

Tiong Lai juga memberi jaminan bahawa Biro Pengangkutan Australia akan terus menganalisa data yang diperoleh termasuk corak sepihan dihanyutkan dan kedudukan ia ditemui.

Tags / Kata Kunci: Liow Tiong Lai , MH370

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan