Hishammuddin Tolak Kemungkinan Tawau Pusat Transit Daesh Ke Filipina

Diterbitkan: Rabu, 25 Januari 2017 7:22 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menolak kemungkinan Tawau dijadikan pusat transit pengganas Daesh untuk menyusup ke selatan Filipina.

Ini kerana kata beliau dalam era dunia tanpa sempadan sekarang kumpulan itu boleh mengatur gerakan dari mana-mana arah dan tidak semestinya memerlukan sebuah pusat transit di sesebuah negara.

"... satu dunia boleh menjadi pusat transit kepada Daesh. 

"Dalam dunia tanpa sempadan sekarang ancaman yang kita hadapi tidak memerlukan transit pun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pemukiman hala tuju Kementerian Pertahanan 2017, di sini, Rabu.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Isnin yang dilapor berkata polis melumpuhkan sel baharu pengganas Daesh, yang dipercayai cuba menjadikan Sabah sebagai pusat transit anggotanya di Asia Tenggara dan Asia Selatan sebelum ke selatan Filipina.

Bagaimanapun, terdahulu hari ini Khalid dilapor menjelaskan perairan Tawau dipercayai dijadikan laluan utama pengganas Daesh untuk ke selatan Filipina susulan kedudukanya yang strategik dalam segi tiga antara Malaysia, Filipina dan Indonesia. 

Mengulas perkara lain, Hishammuddin berkata menjadi keperluan untuk melengkapi Angkatan Tentera Malaysia dengan aset baharu seperti pesawat tempur pelbagai guna, kapal sokongan pelbagai guna dan kapal perang persisir pantai.

"Suka tak suka kita kena dapat aset-aset baharu, kita kena umumkan kepada orang ramai, (dan) ini bergantung kepada kewangan dunia dan negara," katanya.

Mengulas tentang Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (Lima'17), Hishammuddin berkata persiapan berjalan mengikut jadual.

Lima'17 dijadualkan dari 21 hingga 25 Mac ini. --Bernama




Tags / Kata Kunci: Hishammuddin , Tawau , Daesh

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan