Malaysia Teruskan FTA Dengan Ahli TPP Jika TPPA Tak Jadi Kenyataan

Diterbitkan: Ahad, 22 Januari 2017 9:15 AM

Datuk Seri Mustapa Mohamed

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia akan mengkaji kemungkinan untuk meneruskan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala dengan ahli Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang berkaitan jika Perjanjian TPP tidak menjadi kenyataan, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Negara juga akan memberi keutamaan dalam mengukuhkan integrasi ekonomi dalam Asean dan berusaha untuk memuktamadkan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di sini Sabtu.

Mustapa, yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat tahunan Forum Ekonomi Dunia, di Davos, Switzerland dari 17-20 Jan, berkata demikian ketika ditanya  mengenai strategi Malaysia jika TPPA tidak menjadi kenyataan pada majlis makan tengah hari perniagaan yang diadakan di Davos.

Majlis tersebut dihadiri pelabur antarabangsa yang berpotensi dan sedia ada daripada pelbagai sektor dan negara anjuran bersama Khazanah Nasional Bhd dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Berdasarkan sentimen dasar perlindungan yang meningkat di beberapa buah negara, menteri itu memberi jaminan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia kekal terbuka kepada perniagaan.


"Pelaburan asing memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi kami dan kami akan terus mengalu-alukan pelaburan yang berkualiti tinggi, terutamanya dalam subsektor pemangkin seperti bahan kimia, elektrik dan elektronik, jentera dan peralatan, selain bidang pertumbuhan lain yang berpotensi tinggi termasuk aeroangkasa, peranti perubatan dan ekonomi digital," katanya.

Mustapa berkata Malaysia menjadi penerima manfaat utama Pelaburan Langsung Asing, yang turut menyumbang kepada eksport negara berdasarkan jumlah besar syarikat asing yang beroperasi di Malaysia yang 100 peratus berorientasikan eksport.

"Kehadiran syarikat asing dalam ekonomi kami turut menyediakan akses kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan kepada pemindahan teknologi dan pertukaran pengetahuan, penting dalam membangunkan keupayaan mereka yang membolehkan mereka menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global," katanya.

Pada majlis itu, Mustapa turut menjawab beberapa soalan daripada audiens, kebanyakannya mengenai hala tuju ekonomi Malaysia, terutamanya dalam konteks pentadbiran Presiden Donald Trump dan status terkini integrasi ekonomi Asean.

Beliau turut menggesa pelabur untuk memanfaatkan peluang yang terdapat di rantau Asean yang dinamik dengan menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk.

Katanya sebilangan besar syarikat asing seperti Novartis, Roche, GE dan Standard Chartered telah menjadikan Malaysia sebagai hab serantau mereka.
Beliau turut menegaskan kelebihan Malaysia termasuk dari segi kestabilan politik, mempunyai asas ekonomi yang kukuh, dasar yang mesra perniagaan, mempunyai infrastruktur yang baik, kedudukannya yang strategik dalam ASEAN dan pemudahan pelaburan melalui MIDA.

"Walaupun persekitaran semasa yang mencabar, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kami kekal antara yang tertinggi di rantau ini dan pasaran sedang pesat membangun," katanya.

Turut hadir Pengarah Urusan Khazanah Nasional Tan Sri Azman Mokhtar, Pengerusi AirAsia Bhd Tan Sri Tony Fernandes dan Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak.
Tags / Kata Kunci: FTA , Asean , TPPA , Datuk Seri Mustapa Mohamed

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan