Isu Forest City: Kenyataan Tun M Fitnah Besar - PM

Diterbitkan: Jumaat, 20 Januari 2017 1:22 PM

Najib membakar semangat belia ketika merasmikan Transformasi Nasional di Universiti Malaya pada Jumaat. fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan fitnah besar terhadap kerajaan negeri Johor dan Malaysia berhubung kenyataannya mengenai projek Forest City di Johor Baru.

Perdana menteri menafikan dakwaan Dr Mahathir kononnya seramai 700,000 warga China akan dibawa masuk ke Johor di bawah projek itu dan diberi kewarganegaraan.

"Bila kerajaan negeri Johor luluskan Forest City, bila tanah itu ditebus, reclaim land, kita jual kepada orang luar atas leasehold (pegangan pajak) untuk tempoh 99 tahun sahaja.

"Bila mereka membeli rumah, rumah itu di atas tanah kita. Jadi di mana soal kedaulatan negara kita terkorban," katanya semasa berucap merasmikan program 'Jom Bantu Rakyat' di Desa Pandan di sini Jumaat.

Beliau berkata rakyat China yang negara mereka sudah menjadi sebuah kuasa ekonomi dunia dan memiliki pendapatan tinggi tidak akan berhasrat untuk menjadi warga negara Malaysia.

Najib berkata warga China yang menyertai program 'Malaysia My Second Home' juga tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia walaupun mereka menetap di negara ini.

Beliau berkata apa bezanya rakyat negara lain yang membeli rumah di Kuala Lumpur dengan rakyat China yang membeli rumah di Johor.

"Adakah kalau orang Amerika Syarikat atau Jepun beli rumah di Kuala Lumpur itu baik, tetapi orang China beli rumah di Johor itu tidak baik?," soal perdana menteri.

Najib turut menjelaskan mengenai lawatan rasminya ke China baru-baru ini yang bertujuan untuk menarik pelaburan ke negara ini.

Beliau mengambil contoh kejayaan Dubai yang dahulunya adalah padang pasir, namun kini telah menjadi sebuah bandar metropolis yang hebat dan rakyatnya mendapat pendapatan tinggi hasil daripada pelaburan luar dan pembangunan tanah.

"Kalau dasar Dubai berjaya, kita juga boleh bangunkan tanah kita," katanya.

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan mendakwa warga China yang ke Johor itu akan diberi kad pengenalan bagi membolehkan mereka mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam pada itu, Najib turut menempelak Dr Mahathir berhubung kenyataannya semalam tentang hasrat DAP yang mahukan jawatan timbalan perdana menteri jika pembangkang memenangi pilihan raya akan datang.

Perdana menteri berkata selama 22 tahun Dr Mahathir mengutuk veteran DAP Lim Kit Siang dengan mengatakan pemimpin itu rasis, anti-Islam dan anti-Melayu namun kini mahu memberikan jawatan nombor dua negara kepada parti itu.

"Kalau begitu keadaannya, kita tidak boleh harap masa depan kita. Janganlah kerana politik kita buat kenyataan ataupun dealing (sepakatan) seperti ini yang ada implikasi besar kepada kita semua," katanya.

Justeru, katanya, rakyat tidak perlulah memikirkan mengenai perkara itu kerana yang diperlukan mereka adalah sebuah kerajaan yang boleh membawa negara ke hadapan.

"Saya dan rakan-rakan dalam kerajaan mahu membawa Malaysia ke mercu kejayaan sebagai antara 20 negara terbaik di dunia dalam masa 30 tahun lagi dan ini boleh dilakukan jika kita tidak terbawa-bawa dengan terlalu banyak politiking.

"Kalau kita tidak menghasut rakyat, kalau kita tidak mengelirukan rakyat dan kalau rakyat tahu hala tuju dan rakyat sokong, Insya-Allah kita akan sampai ke destinasi yang kita impikan dan hasratkan," kata Najib.

Dalam ucapannya, perdana menteri turut mengumumkan kelulusan pembangunan semula projek perumahan rakyat termiskin (PPR) Sri Perlis 1 dan 2 di Keramat di sini yang akan dilaksanakan secara berfasa.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan jumlah peruntukan yang diluluskan dan menyerahkan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menentukan butirannya.

Turut hadir pada majlis itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Kewangan Kedua yang juga anggota Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Forest City , Dr Mahathir Mohamad

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan