Pegawai Kerajaan Lapor Rasuah Diberi Ganjaran Sepadan Wang Sogokan - SPRM

Diterbitkan: Khamis, 19 Januari 2017 2:23 PM

Datuk Shamsun Bahrin Mohd Jamil

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kakitangan awam yang melaporkan kes rasuah akan menerima jumlah insentif yang sama dengan jumlah rasuah yang ditawarkan, kata Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Shamsun Bahrin Mohd Jamil.

"Sebagai contoh, seorang pegawai ditawarkan rasuah RM10,000 dan dia melaporkannya kepada kami.

"Jika kes itu akan disiasat dan tertuduh didakwa, pegawai itu akan diberikan insentif RM10,000, sepadan dengan wang sogokan tersebut," katanya.

Shamsun Bahrin berkata insentif terendah yang ditawarkan adalah RM500.

"Jika ia (wang sogokan) adalah RM1,000 maka insentif yang diterima pun akan sepadan dengan jumlah itu," katanya.

Shamsun Bahrin dalam satu temu bual pada Khamis berkata insentif itu telah diperkenalkan oleh bekas Ketua Setiausaha Negara, tanpa menyatakan namanya.

Beliau berkata ini bagi menggalakkan penjawat awam melaporkan kegiatan rasuah, sekali gus mampu menghapuskan rasuah.

Walau terdapat insentif itu, beliau berkata hanya 162 penjawat awam yang tampil melaporkan kes rasuah.


"Terdapat seramai 1.6 juta penjawat awam, jadi hanya 0.01 peratus daripada mereka yang telah buat laporan. Kita tidak mahu seperti ini," katanya, sambil menggesa lebih ramai penjawat awam bertindak untuk menentang rasuah.

"Kita tidak mahu sektor awam dilihat sebagai rasuah. Malangnya tidak ramai kakitangan awam yang sanggup tampil, walaupun kita mempunyai Akta Perlindungan Saksi dan Akta Pemberi Maklumat," katanya.
Tags / Kata Kunci: insentif penjawat awam , rasuah , SPRM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan