MH370: Bapa Harap Ihsan Pencarian Pesawat Disambung Semula Pada Masa Depan

Diterbitkan: Selasa, 17 Januari 2017 7:00 PM

Gambar anak kapal MH370.

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Meskipun menerima hakikat pencarian dasar laut pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 kini digantung, bapa seorang penumpang masih mengharapkan usaha itu dapat disambung semula pada masa depan.

Selamat Omar berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dapat menimbang kemungkinan menyambung pencarian itu pada masa akan datang sekiranya ada bukti di mana penerbangan pesawat malang itu berakhir.

"Saya masih berharap...saya mohon ihsan perdana menteri supaya (pencarian) boleh diteruskan apabila keadaan kewangan baik dan jika usaha itu tidak membebankan negara.

"Saya tahu, sudah banyak yang dibelanjakan dalam usaha mencari apatah lagi dalam keadaan ekonomi sekarang. Sebab itu saya terima keputusan menggantung usaha pencarian itu," katanya semasa dihubungi di sini, Selasa.

Selamat, 64, dari Felda Bukit Mendi, Bera, berkata beliau menerima ketentuan Illahi tentang nasib anak lelakinya Mohd Khairul Amri yang hilang bersama-sama penumpang lain MH370 namun sebagai manusia, beliau ingin tahu situasi sebenar yang menimpa pesawat itu.

Mohd Khairul Amri, yang merupakan jurutera pesawat, berusia 29 tahun semasa tragedi malang itu menimpa pesawat berkenaan.

"Saya sudah reda, cuma mengharapkan ihsan agar terus cari sehingga jumpa...  ada noktah. Bila (MH370) ditemui, barulah kami dapat tahu apa sebenarnya dan pihak berkenaan boleh lakukan analisis supaya kejadian serupa tidak berulang," katanya.

Selamat juga berharap sekiranya pencarian itu disambung pada masa depan, hanya kenyataan sahih dimaklumkan kepada waris memandangkan adanya penyebaran maklumat tidak sahih yang memberi harapan palsu kepada keluarga mangsa.

Malaysia, Australia dan China pada Selasa mengeluarkan kenyataan bersama bagi mengumumkan bahawa usaha pencarian dasar laut pesawat MH370 kini digantung, dengan kapal mencari terakhir dalam operasi itu meninggalkan kawasan pencarian seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

Kenyataan itu dikeluarkan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia Darren Chester dan Menteri Pengangkutan China Li Xiaopeng.

Kenyataan bersama itu menyatakan pesawat berkenaan tidak dapat dikesan, "walaupun segala usaha telah dilakukan, menggunakan pengetahuan sains terbaik, teknologi tercanggih serta pemodelan dan nasihat daripada profesional berkemahiran tinggi, yang amat pakar dalam bidang masing-masing".

Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar ketika dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR, waris keluarga penumpang dan krew Penerbangan MH370 berharap usaha mencari pesawat Malaysia Airlines itu akan diteruskan di kawasan baharu.

Nur Laila Ngah, 43, isteri kepada pramugara kanan Wan Said Wan Ismail, berkata beliau dan ketiga-tiga anaknya masih menunggu dan berharap keajaiban akan berlaku.

"Saya terima sahaja apa keputusan (kerajaan) tetapi jauh di sudut hati memang sedih dan saya sentiasa mengikuti perkembangan pencarian MH370, memang terkesan jika ada berita mengenai MH370," katanya.

Kelvin Shim, 41, suami kepada pramugrai penerbangan MH370 Christine Tan, berkata kerajaan harus mengkaji semula apa-apa maklumat yang diperoleh dan menganalisa semula situasi dan tidak sebaliknya menggantung operasi mencari.

"Kerajaan harus meneruskan usaha mencari dan pada masa yang sama cuba mendapatkan maklumat baharu," kata beliau.

Maira Elizabeth Nari, 21, anak perempuan kepada ketua pramugara Andrew Nari, berasa sedih apabila mendapat tahu bahawa usaha mencari pesawat malang itu telah digantung.

"Secara jujur, saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan sebab dah penat dan tambahan pula ia sudah terlalu lama. Yang Penting (Allah) yang maha mengetahui," katanya.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook pada Selasa, persatuan waris keluarga dikenali Voice370 menyeru kepada Malaysia, China dan Australia untuk mengkaji semula keputusan menggantung usaha mencari.

Mereka mengakui "usaha bersungguh-sungguh" yang dijalankan oleh ketiga-tiga negara itu dan pihak lain untuk menjejaki pesawat tersebut.

Malah mereka juga melahirkan penghargaan kepada organisasi media di seluruh dunia atas sokongan mereka.

"Kami masih menaruh harapan bahawa maklumat baharu akan menjelma dan suatu ketika pada masa depan, pesawat tersebut dapat dikesan." - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: MH370 , MAS , waris

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan