1.2 Juta Penumpang Guna MRT

Diterbitkan: Selasa, 17 Januari 2017 11:19 AM

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI

SUNGAI BULOH: Seramai 1.2 juta penumpang menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Sungai Buloh ke Semantan bermula 16 Disember lalu sehingga Isnin.

Ketua Pegawai Operasi MRT Jajaran Sungai Buloh-Kajang, Muhammad Isom Azis berkata, ia adalah jumlah penumpang yang dicatatkan dalam tempoh sebulan menerusi perkhidmatan yang diberikan secara percuma.

"Secara purata, jumlah penumpang adalah seramai 27,000 sehingga 30,000 sehari, ada turun naik masa hujung minggu dan cuti umum.

"Kita berharap dapat mengekalkan jumlah ini walapun selepas kita mengenakan tambang sekarang," katanya pada sidang media di Stesen MRT Sungai Buloh di sini, Selasa.

Perkhidmatan MRT mula dikenakan bayaran kepada orang ramai pada Selasa. 

Muhammad Isom berkata, beliau menggalakkan orang ramai supaya membayar menggunakan kad Touch n Go berikutan kadar bayaran tanpa tunai itu adalah lebih murah.

"Secara purata, kalau bayar tunai, bayaran maksimum adalah RM3.90 tetapi dengan kad Touch n Go atau bayaran tanpa tunai, bayarannya adalah RM3.40," katanya.

Kadar tambang bayaran tunai bermula dari RM1.20 hingga RM3.90 bagi bayaran tunai dan antara RM1.20 hingga RM3.40 penggunaan kad Touch n Go untuk perjalanan sehala.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan kepada penumpang MRT supaya menjaga keselamatan dan mematuhi peraturan semasa menggunakan pengangkutan awam itu.

Ini kerana katanya, terdapat laporan mengenai tindakan sekumpulan penumpang yang cuba menahan pintu tren daripada ditutup dan kanak-kanak bermain butang kecemasan.

"Kita akan berusaha untuk mendidik orang awam supaya perkara sedemikian tidak berulang," katanya.

Perkhidmatan membabitkan fasa pertama antara stesen Sungai Buloh-Semantan melibatkan 12 hentian sejauh 21 kilometer itu mula dibuka pada 16 Disember lalu dengan tambang percuma termasuk bas pengantara selama sebulan.

Ia meliputi stesen Sungai Buloh, Kampung Selamat, Kwasa Damansara, Kwasa Sentral, Kota Damansara, Surian, Mutiara Damansara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Phileo Damansara, Pusat Bandar Damansara dan Semantan.

Tags / Kata Kunci: MRT , Muhammad Isom Azis

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan