KSN Buat Lawatan Mengejut Ke Jabatan Kerajaan

Diterbitkan: Isnin, 16 Januari 2017 8:12 PM

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa menyampaikan sumbangan Puspanita sebanyak RM40,000 kepada Hospital Putrajaya yang diwakili Pengarah Hospital Putrajaya Datuk Dr Nora’i Mohd Said (dua,kiri) semasa menziarahi wad pediatrik hospital itu pada Isnin. Turut hadir Yang Dipertua Puspanita Kebangsaan, Puan Sri Rohani Abdullah (kanan). Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa pada Isnin membuat lawatan mengejut ke dua jabatan kerajaan di sini dan akan meneruskan siri lawatan sedemikian ke jabatan dan agensi kerajaan bagi melihat perkhidmatan yang diberikan selain mengukur kepuasan rakyat.

Beliau mengadakan lawatan mengejut ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Farmasi Hospital Putrajaya bagi mendapatkan maklum balas orang ramai terhadap perkhidmatan yang diberikan.

Merumuskan tinjauannya, beliau secara keseluruhannya berpuas hati terhadap perkhidmatan yang diberikan kedua-dua jabatan berkenaan yang turut melakukan penambahbaikan dalam usaha memberikan layanan terbaik kepada pelanggan mereka.

"Di JPN, walaupun kaunter sepatutnya tutup pada 4.30 petang, tetapi mereka akan selesaikan semua kes pada hari sama dan sanggup bertugas lebih masa.

"Saya puji perkhidmatan yang diberikan ini," katanya kepada Bernama semasa melawat wad pediatrik Hospital Putrajaya di sini, Isnin.

Beliau berkata, birokrasi Bahagian Farmasi Hospital Putrajaya pula didapati sudah berkurangan apabila pesakit boleh mengambil ubat terus di kaunter berbanding dahulu yang memerlukan pendaftaran di kaunter lain.

Ali berkata, lawatan itu adalah selaras dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu penjawat awam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Jadi, saya akan mengadakan beberapa lawatan tanpa makluman kepada agensi supaya kita dapat lihat sendiri bagaimana rakyat dilayan... mengucapkan terima kasih kepada agensi yang memberikan perkhidmatan terbaik," katanya.

Dalam lawatan ke wad pediatrik itu, yang turut disertai Yang Dipertua Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam (Puspanita), Puan Sri Rohani Abdulla, Ali turut menyampaikan sumbangan Puspanita berjumlah RM140,000 kepada hospital tersebut.

Sumbangan itu terdiri daripada dua unit 'high end infant warmer' bernilai RM100,000, 50 unit kerusi roda, kos baik pulih tandas spesimen serta sumbangan kewangan dan pek nutrisi kepada 45 pesakit kanak-kanak. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan