Henti Buat Kenyataan Negatif Terhadap Adenan

Diterbitkan: Isnin, 16 Januari 2017 6:05 PM

Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

(Ubah saiz teks)

SARIKEI: Orang ramai diminta supaya tidak membuat kenyataan negatif, berbaur perkauman dan fitnah ke atas bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem di media sosial.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, mereka sepatutnya memikirkan perasaan anggota keluarga pemimpin itu selain menghormati orang yang sudah meninggal dunia.

"Lebih-lebih lagi bekas Ketua Menteri itu banyak berjasa kepada rakyat negeri ini dan negara.

"Perkara ini tidak seharusnya berlaku. Kalau anda tiada benda baik untuk diperkata, jangan kata apa-apa. Kita tidak mahu perkara begini terjadi, saya merasakan sangat penting menghormati orang yang meninggal dunia. Janganlah begitu sekali (membuat kenyataan negatif, berbaur perkauman dan fitnah dalam media sosial)," katanya kepada Bernama.

Fatimah berkata, perbuatan seumpama itu boleh menimbulkan perasaan tidak senang hati kepada masyarakat umum secara keseluruhannya selain boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kita mempunyai undang-undang di mana pihak PDRM boleh mengambil tindakan, dan sekarang mereka cepat bertindak," katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan angpau dan hamper kepada 199 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari daerah Sarikei pada Majlis Sejambak Kasih Tahun Baru Cina di Dewan Suarah di sini, Isnin.

Penerima berkenaan merupakan sebahagian dari 7,371 kaum Cina seluruh Sarawak yang menerima sumbangan angpau berserta hamper sempena sambutan Tahun Baharu Cina. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Adenan Satem

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan