Tok Nan Gemar Pancing 'Apek' Batang Kayan

Diterbitkan: Ahad, 15 Januari 2017 2:23 PM

(Ubah saiz teks)

LUNDU: Allahyarham Tan Sri Adenan Satem merupakan seorang wakil rakyat yang sering turun ke padang bagi melihat serta memastikan setiap perancangan pembangunan di kawasan yang diwakilinya berjalan lancar demi manfaat kepada rakyat.

Di sebalik tugasan rasmi sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjong Datu, Adenan sering meluangkan masa untuk memancing di sekitar kawasan tersebut yang berada berhampiran pantai serta sungai yang kaya dengan pelbagai sumber perikanan.

Berkongsi kisah menarik bersama penulis, Penghulu Daerah Lundu Zon Stunggang Melayu Ibrahim Suni, 68, berkata antara lokasi yang diminati bekas Ketua Menteri Sarawak itu termasuk di pesisir pantai Sematan, Telok Melano, Pulau Talang-talang dan jika di sungai di kawasan Batang Kayan menjadi pilihannya. 

"Ketika memancing di Batang Kayan, apabila umpan dimakan, Adenan akan berkata 'ini apek ni' dia sudah boleh jangka dari situ kita nampak naluri dia serta kepakaran sebagai seorang pemancing udang sangat baik.

"Itu senario yang biasa untuk kami yang selalu mengikuti beliau untuk memancing," katanya sambil menambah Batang Kayan sememangnya dikenali sebagai lubuk udang galah atau dikenali sebagai 'apek' di Sarawak.

Terletak kira-kira 110 kilometer dari Kuching, Lundu berada di tepi sungai manakala Sematan pula di tepi laut merupakan antara kawasan dalam DUN Tanjong Datu.

Ibrahim yang mengenali secara rapat Adenan sejak 11 tahun lepas berkata selain itu sisi positif yang dapat dilihat ketika memancing, Adenan seorang yang sangat rajin membaca.

"Dia sangat suka membaca sampai ketika memancing pun tengok buku. Kita memang tidak tahu apa perancangan beliau ketika memancing sambil membaca tetapi saya rasa kadang kala berkaitan dengan perancangan kepada kawasan. 

"Sebagai contoh, tiba-tiba dia keluar dengan idea untuk membina Tebingan Sungai di Lundu ini," katanya.

Ketika ditanya lokasi yang menjadi kegemaran Adenan jika pulang ke kawasan, Ibrahim berkata sebuah kedai kopi di pekan tersebut menjadi tumpuan bekas Adun Tanjong Datu itu untuk menikmati hidangan Laksa Sarawak.

"Adenan kalau ke Lundu memang selalu ke Kedai Kopi Hasni Corner, dia akan beritahu kami nak pergi makan Laksa Sarawak di situ. Selain itu, sebuah gerai menjual cendol di atas Pasar Lundu juga menjadi lokasi kegemarannya untuk menjamu selera."

Mengimbau kenangan bekerja di bawah Adenan, Ibrahim berkata mereka perlu berhati-hati kerana beliau amat menitikberatkan kepentingan rakyat seperti mahu setiap projek dilaksana sebaik mungkin.

"Bila balik ke kawasan, dia mesti pergi melawat tengok projek-projek, apa yang telah dilaksanakan. Dia pernah datang melihat projek tanpa memberitahu, kalau belum buat dia sendiri telefon tanya kenapa tidak buat lagi. 

"Sebab itu kami di bawah pentadbiran Tok Nan kena berhati-hati serta berjaga-jaga kerana dia ini kalau projek mesti serius tidak boleh tangguh demi kepentingan rakyat," kata Ibrahim.

Ibrahim yang ternyata masih terkesan dengan pemergian Adenan pada Rabu lalu berkata, penduduk di Lundu tidak percaya ketika mula mendengar berita itu, namun perlahan-lahan dapat menerima suratan takdir itu.

"Memang terasa pemergian beliau, dia sangat rapat dengan penduduk, kalau dia balik kawasan sangat mesra, tidak ada protokol ajak kita duduk sama minum kopi makan laksa sarawak tanpa ada halangan," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Adenan Satem

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan