Laluan Utama Tanjung Bungah Dibuka Semula

Diterbitkan: Ahad, 15 Januari 2017 11:39 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGETOWN: Laluan yang menghubungkan Jalan Gunung Erskine ke Jalan Lembah Permai di Tanjung BUngah, Pulau Pinang, kini dibuka semula kepada trafik selepas ditutup selama tiga bulan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) menyiapkan kerja-kerja pembaikan pada Sabtu, empat hari sebelum tempoh seminggu yang diberikan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Guan Eng sebelum ini menyuarakan kekecewaan beliau terhadap kerja pembaikan yang perlahan di lokasi tersebut.

Susulan perkembangan terbaharu itu, Guan Eng mengucapkan terima kasih kepada JKR kerana menyiapkan tugas tersebut lebih awal daripada tempoh yang diberikan.

"Jalan ini merupakan laluan penting menghubungkan penduduk di Tanjung Bungah untuk pergi ke pekan.

"Memandangkan Tahun Baharu China semakin hampir, jumlah trafik di laluan ini dijangka meningkat.

"Jalan ini juga merupakan laluan alternatif ke Jalan Tanjung Bungah," katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan semula jalan tersebut.

Kos membaiki jalan itu menelan belanja sebanyak RM435,000 selepas laluan terbabit runtuh pada 13 Oktober lalu akibat hujan lebat dan pergerakan bawah tanah.

Pihak berkuasa terpaksa menutup jalan sejauh tiga kilometer di laluan berbukit itu atas faktor keselamatan.

Sepanjang penutupan tersebut, trafik sesak berlaku di Jalan Tanjung Bungah pada waktu puncah memandangkan laluan berkenaan satu-satunya pilihan untuk penduduk di Jalan Lembah Permai, Taman Concord dan sekitarnya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, kenderaan berat dengan jumlah muatan tertentu dilarang menggunakan laluan tersebut bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Tags / Kata Kunci: Lim Guan Eng , JKR , Tanjung Bungah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan