China-Malaysia Sependapat Wujudkan Kesalinghubungan Rentas Negara

Diterbitkan: Sabtu, 14 Januari 2017 11:26 PM

Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) melihat gambar rajah yang dipamerkan sambil mendengar penerangan Ketua Akademi Anti-Dadah Kolej Polis Yunnan, Luo Hanqing (kiri) semasa melawat Narco Educational Base sempena lawatan kerja beliau ke China pada Sabtu. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

KUNMING (Wilayah Yunnan, China): China sependapat dengan Malaysia supaya dibangunkan kesalinghubungan darat khususnya laluan perkhidmatan tren di antara negara-negara rantau ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata usaha membangunkan kesalinghubungan itu bukan sahaja memerlukan kerjasama di antara China dan Malaysia malah, turut membabitkan beberapa negara yang menjadi laluan perkhidmatan itu.

Beliau berkata soal kesalinghubungan itu adalah antara agenda yang dibincangkan dalam beberapa pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden China Xi Jinping sebelum ini.

"Kita lihat laluan tren dari Singapura ke Kuala Lumpur, Kuala Lumpur ke Bangkok dan seterusnya menghala utara merentasi beberapa negara sehingga ke Kunming di wilayah Yunnan ini. 

"Dari Kunming ke Beijing sudah ada Keretapi Berkelajuan Tinggi, maka soal kesalinghubungan ini akan melibatkan kerjasama bukan sahaja dengan Malaysia tetapi dengan beberapa negara yang menjadi laluannya," katanya dalam sidang media di sini, pada Sabtu.

Beliau dalam rangka lawatan kerja enam hari ke China sejak Selasa.

Ahmad Zahid berkata dalam pertemuannya dengan beberapa pemimpin di sini,mereka menyambut baik usaha mewujudkan laluan itu dan secara dasarnya bersetuju untuk mengambil pelbagai inisiatif bagi merealisasikannya.

"Bukan sahaja mereka sanggup bantu dari segi melancarkan pembinaan, malah sanggup untuk memberi pinjaman mudah kepada yang berminat membantu menjayakan hasrat mewujudkan kesalinghubungan ini," katanya.

Merujuk kepada perdagangan dua hala, Ahmad Zahid berkata imbangan perdagangan di antara Malaysia dan Wilayah Yunnan sehingga November lepas adalah kira-kira US$343 juta dengan eksport utama negara adalah barangan berasaskan kelapa sawit manakala Malaysia banyak mengimport hasil pertanian dari wilayah Yunnan.

Beliau berkata memandangkan Malaysia dan China masih belum menandatangani perjanjian FTA, Wilayah Yunnan menghadapi sedikit masalah teknikal dalam mengeksport beberapa barangannya ke Malaysia.

"Namun, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengambil beberapa langkah proaktif bagi menanganinya," kata beliau.

Ahmad Zahid berkata produk halal termasuk makanan, kosmetik dan farmaseutikal terutamanya bahan-bahan yang datang dari Malaysia juga mempunyai potensi besar di Wilayah Yunnan.

Usahawan wilayah ini dilihat amat mengharapkan satu bentuk pengiktirafan halal untuk produk-produk mereka, katanya sambil memberitahu bahawa langkah itu wajar diterokai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Halal Development Corporation (HDC).   

Sebagai pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Industri Halal negara, katanya beliau bersetuju untuk meningkatkan rombongan-rombongan dagangan Malaysia ke Wilayah Yunnan bagi menjalin kerjasama dengan pamain-pemain industri halal di sini.

Ahmad Zahid berkata beliau juga mendapatkan persetujuan Jakim dan HDC untuk 'mengantarabangsakan' sijil-sijil pengesahan halal mereka supayaia dapat diterima dan diiktiraf negara luar termasuk di Wilayah Yunnan yang menawarkan potensi besar.

Selain itu, beliau akan berbincang dengan Jakim dan HDC mengenai kemungkinanmewujudkan makmal cawangan di luar negara termasuk di Yunnan bagi membantu proses pengesahan halal bahan-bahan dalam produk mereka.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri juga berkata pertemuan dengan para pemimpin China kali ini mencapai persetujuan supaya pertukaran banduan antara kedua-dua negara dapat dilaksanakan. -Bernama

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan