Kerajaan Setuju Kaji Langkah Ringan Beban Syarikat AP Terbuka

Diterbitkan: Sabtu, 14 Januari 2017 8:21 PM

Najib merasmikan bangunan baharu Wisma Yayasan PEKEMA berharga RM25 juta pada Sabtu.
Turut hadir Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA), Datuk Zainuddin Abd Rahman (kiri).Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

CYBERJAYA: Kerajaan bersetuju mengkaji langkah-langkah baharu bagi meringankan beban syarikat Permit Import (AP) Terbuka terutamanya berhubung sistem fi AP sebanyak RM10,000, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata cadangan mengenai langkah-langkah baharu itu akan dikemukakan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk dipertimbangkan.

"Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri MITI) ada bersama-sama dan sayamenantikan cadangan daripada MITI untuk dipertimbangkan," katanya semasa merasmikan Wisma Yayasan Persatuan Peniaga dan Pengimport Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), di sini, Sabtu.

Najib berkata sejak sistem fi AP sebanyak RM10,000 diperkenalkan pada2010 bagi setiap unit AP Terbuka, kerajaan telah mengutip kira-kira RM2 bilion.

Bagaimanapun, katanya, memandangkan persekitaran ekonomi ketika ini, keputusan itu telah menimbulkan tekanan kepada mereka yang terlibat terutamanya dalam perniagan AP Terbuka.

"Dalam pelaksanaannya (fi AP), telah menimbulkan tekanan khususnya dari segialiran tunai kepada mereka yang terlibat dalam perniagaan ini," katanya.

Menurut Perdana Menteri, berdasarkan laporan dikeluarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan kenderaan dari Januari hingga November 2016 berjumlah 515,293 unit, merosot sebanyak 13.73 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak 597,306.

Beliau berkata dasar AP Terbuka yang pada mulanya dicadang untuk ditamatkan di bawah Dasar Automotif Nasional (NAP) pada 31 Dis 2015, telah diteruskan dengan penambahbaikan dalam Dasar Baharu AP Terbuka. 

Penambahbaikan itu termasuklah memberi peluang kepada syarikat baharu yang layak melibatkan diri dalam perniagaan pengimportan, pengedaran dan penjualan kereta dan motosikal terpakai.

Najib berkata dasar itu bertujuan meneruskan matlamat memperkasakan agenda ekonomi Bumiputera dan mengembangkan penglibatan mereka dalam industri automotif.

 Beliau juga berharap syarikat AP Terbuka sentiasa peka dengan keadaan dan kehendak pasaran semasa dan berusaha meningkatkan keupayaan dan daya saing, mempelbagaikan aktiviti perniagaan dan tidak mengharapkan punca pendapatan daripada perniagaan kereta dan motosikal import terpakai semata-mata.

"Di sektor automotif sendiri terdapat pelbagai peluang perniagaan lain yang berpotensi untuk diceburi seperti pengedaran kereta baharu, pembuatan komponen 'pembuatan semula', penubuhan pusat kitar semula, pemeriksaan kereta dan banyak lagi," katanya.

Menurutnya, NAP meletakkan sasaran untuk meningkatkan daya saing industri automotif tempatan dan menjadikan Malaysia sebagai hab serantau bagi kenderaan cekap tenaga (EEV) yang merangkumi kenderaan hibrid dan elektrik.

Dalam pada itu, Najib turut memuji Pekema kerana berjaya memiliki wisma yayasannya sendiri bernilai lebih RM25 juta hasil sumbangan dana yang dikumpul daripada ahli-ahli Pekema.

Katanya, ia adalah lambang kejayaan usahawan Melayu Bumiputera hasil daripada Dasar AP Terbuka yang dilaksanakan kerajaan dan sememangnya harus dibanggakan. -Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan