NGO Malaysia Bantu Mangsa Banjir Selatan Thai

Diterbitkan: Sabtu, 14 Januari 2017 4:04 PM

Banjir yang melanda 10 wilayah selatan Thailand telah mengorbankan 12 nyawa dan menyebabkan 744,442 penduduk terjejas, demikian menurut pihak berkuasa bencana negara itu.- BERNAMA

(Ubah saiz teks)

NAKHON SI THAMMARAT: Penderitaan mangsa banjir di selatan Thai turut mendapat perhatian daripada rakyat Malaysia yang bersimpati untuk turut menghulurkan pelbagai bantuan kemanusiaan.

Menerusi misi kemanusian oleh Pertubuhan Gabungan Bantuan Bencana NGO Malaysia ke Nakhon Si Thammarat, sebuah wilayah paling teruk terjejas, bantuan berupa barangan makanan dihulurkan pada mangsa.

"Kami dengan Yayasan Assalam Thailand menghulurkan kira-kira 420 beg makanan dari penderma Malaysia untuk mangsa-mangsa banjir yang terdiri daripada masyarakat Islam dan bukan Islam di Nakhon Si Thammarat," kata ketua rombongan bantuan kemanusian Malaysia, Dr Din Suhaimi Sidek kepada Bernama pada Sabtu.

Pihaknya memilih wilayah Nakhon Si Thammarat atas nasihat pegawai daerahnya yang mengatakan ia adalah antara wilayah paling teruk terjejas dengan 27 kawasan dinaiki air banjir setinggi 2.5 meter.

Hujan lebat akibat musim monsun bermula daripada 1 Jan lepas telah mengakibatkan 12 wilayah selatan Thai dilanda banjir besar yang sehingga semalam telah mencatatkan 36 kematian manakala seorang lagi masih hilang.

Banjir besar di selatan Thailand yang dianggap terburuk dalam sejarah 50 tahun itu turut menjejaskan 1.6 juta penduduknya.

Menurut Din Suhaimi, walaupun sesetengah kawasan yang dilanda banjir mulai pulih dan air telah surut tetapi air banjir masih tinggi mencecah 1.2 meter.

Anggota misi kemanusiaan terpaksa menggunakan sampan untuk menyampaikan bantuan kerana beberapa lokasi dituju mereka masih dinaiki air banjir sedalam 1.2 meter.

Mereka dibawa melawat dan menghulurkan bantuan di Kampung Nongwak yang dihuni penduduk bukan Islam serta Kampung Klong Mai yang diduduki oleh masyarakat Islam, Jumaat.

Sehari kemudiaan anggota misi kemanusiaan Malaysia terlibat dalam usaha membersihkan sekolah pondok Pattanasart yang telah terjejas teruk, sebelum pulang ke tanah air, katanya.

Tags / Kata Kunci: Banjir Selatan Thai

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan