WWF Malaysia Sasar Majlis Kahwin Tanpa Sirip Ikan Yu Tahun Ini

Diterbitkan: Jumaat, 13 Januari 2017 6:15 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Secara tradisinya, sirip ikan yu dihidangkan sebagai sebahagian daripada juadah sup biasanya pada musim perayaan, khususnya semasa Tahun Baharu Cina, jamuan perkahwinan dan majlis makan malam korporat.

Hidangan popular masyarakat Cina itu selalunya dihidangkan sebagai juadah kelima - sejurus selepas pasangan pengantin menyambut tetamu - yang mengagumi makanan termahal pada majlis itu.

Bagaimanapun, peningkatan permintaan menyebabkan tangkapan ikan yu tidak mampan, lalu WWF-Malaysia mengambil inisiatif untuk meminimumkan impak manusia ke atas ikan yu dan ekosistem marin menerusi kempen 'Wedding without Fins'.

Kempen dengan kerjasama 'Shark Savers Malaysia' akan memperjuangkan hidupan laut itu dengan berunding bersama perancang perkahwinan untuk memastikan pasangan bakal pengantin memilih untuk juadah bebas sirip ikan yu tahun ini.

Pengurus Program Hidupan Laut Mampan WWF-Malaysia Chitra Dewi G. berkata menerusi kempen ini, perancang perkahwinan akan mengenal pasti dan mengeluarkan sup sirip ikan yu daripada menu jamuan tersebut.

Beliau berkata kajian oleh WWF-Malaysia's Asian City Shark Fin Consumer Survey mendedahkan bahawa 85 peratus penggunaan sup sirip ikan yu adalah semasa keraian seperti majlis perkahwinan.

"Melalui beberapa kempen daripada WWF-Malaysia seperti 'My Fin My Life' tahun lepas, kami mendapati walaupun orang ramai secara umumnya bersimpati, kebanyakan mereka tidak bersedia untuk menyatakan komitmen menyelamatkan ikan yu.

"Kami berharap menerusi perancang perkahwinan, kami dapat menyampaikannya secara langsung dan memberi kesan lebih baik dalam pendekatan perniagaan untuk pemuliharaan ikan yu," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, Jumaat.

Presiden Shark Savers Malaysia Abner Yap mencadangkan agar perancang perkahwinan dapat menawarkan apa-apa diskaun atau keistimewaan kepada pelanggan mereka menerusi pakej disediakan, dalam menyokong kempen 'Wedding without Fins'.

"Sebagai contoh, mereka boleh bekerjasama dengan hotel dan restoran bagi menawarkan menu percuma pada jamuan perkahwinan atau apa-apa perkhidmatan percuma seperti sesi fotografi," katanya.

Beliau berkata semasa perayaan Tahun Baharu Cina, terdapat pilihan untuk pelanggan katakan tidak kepada sup sirip ikan yu dan mereka boleh memulakan (kempen) dengan tidak memesan atau memasak hidangan itu.

"Kami faham secara tradisinya, ia adalah juadah yang digemari sebagai sebahagian daripada sambutan perayaan itu tetapi kami merayu kepada pengguna agar tidak menghidangkan sirip ikan yu dalam hidangan mereka kali ini.

"Ini boleh menjadi langkah pertama dan kami berharap mereka yang kini memakan sirip ikan yu akan memihak kepada keperluan melindungi jerung dan bukannya memakan anggota dan dagingnya," katanya.

Sirip ikan yu biasanya dikaitkan dengan kemakmuran dan dihidangkan sebagai tanda prestij atau untuk menghormati tetamu.

Pengarah Eksekutif WWF-Malaysia Datuk Dr Dionysius S.K. Sharma pula berkata kempen 'Wedding without Fins' ialah sebahagian daripada kempen 'My Fin My Life' tahun lepas untuk meningkatkan kesedaran mengenai nasib ikan yu dan menghentikan penggunaan produk atau sirip ikan yu.

"Kami mendapati kempen ini agak mencabar kerana kami tidak dapat mencapai matlamat untuk menjadikan 20,000 restoran lebih peka untuk menghentikan sup sirip ikan yu dalam menu mereka tahun lepas. Ini berikutan kesukaran untuk melibatkan diri dengan restoran berkenaan.

"Kami menyasarkan lebih banyak syarikat perniagaan mengeluarkan sirip ikan yu daripada menu jamuan korporat mereka, jadi dengan kempen ini, kami harap dapat menyampaikan kesedaran untuk melindungi hidupan liar marin kita menerusi perancang perkahwinan, restoran dan hotel untuk mencapai matlamat kami," katanya.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: WWF , sirip ikan yu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan