Najib Imbas Kenangan Bersama Tok Nan

Diterbitkan: Khamis, 12 Januari 2017 11:38 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mencatat nukilan yang mengimbas kenangannya bersama Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, seorang sahabat yang disifatkan amat dekat di hati beliau.  

Kata Najib, sebagai perdana menteri, beliau telah kehilangan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat dan tegas dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua menteri. 

"Laungan 'ooh ha' beliau, yang bermaksud saya sayang Sarawak, masih terngiang-ngiang di telinga. 

"Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada parti dan beliau telah meninggalkan ruang besar untuk diisi," katanya dalam catatan terkini dalam blog rasminya, Khamis.

Adenan, 72, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan, Kuching, pada 1.24 tengah hari Rabu.

Najib berkata Adenan, yang lebih mesra disapa Tok Nan, merupakan seorang pemimpin yang tegas dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua menteri serta sentiasa mengetengahkan isu-isu Sarawak yang perlu dibincang dan diselesaikan bersama.

"Saya berbangga bahawa hubungan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri Sarawak mencapai tahap tinggi di bawah kepimpinan Tok Nan. 

"Tok Nan bagi saya merupakan tokoh 1Malaysia, seorang pemimpin yang menjiwai semangat 1Malaysia," katanya.

Menyifatkan Adenan sebagai seorang pemimpin yang mampu menyatukan rakyat berbilang kaum di bawah satu bumbung dan tidak pernah mengetepikan kepentingan mana-mana kaum, Najib yakin komuniti di Sarawak baik Dayak, Cina, Melayu atau Kelabit memandang tinggi, hormat dan sayang 'Apai Besar' mereka.

Mengimbas kenangannya pada 2015, Najib berkata, kebolehan Adenan berbahasa Cina memberi kelebihan kepada beliau untuk mendekati masyarakat itu dan menyampaikan dasar-dasar yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak dari segi pendidikan dan kos sara hidup. 

Pengalaman berkempen ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak 2016 juga menurut Najib masih segar dalam ingatannya di mana 'Faktor Adenan' telah memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN).

"Beliau adalah tsunami politik...gelombang biru atau apa yang sesetengah pihak berkata sebagai faktor Adenan," katanya.

Najib berkata, Adenan juga seorang yang tidak mudah mengalah ketika berhadapan cabaran, termasuk saat parti dikejutkan dengan berita nahas helikopter yang mengorbankan rakan-rakan mereka termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon. 

"Ketika itu banyak perbincangan antara saya dan beliau (Adenan) berkenaan cara-cara untuk menaikkan semangat jentera parti setelah nahas kemalangan helikopter yang mengorbankan rakan-rakan kami, serta strategi-strategi pilihan raya yang boleh dilaksanakan dalam memastikan kemenangan besar untuk BN," katanya.

Katanya, Adenan telah meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan diri sendiri dan banyak transformasi yang telah dilaksanakan Allahyarham sepanjang menjadi ketua menteri yang membuatkan rakyat lebih sayang dan yakin pada kepimpinan kerajaan BN. 

"Sebagai Najib Razak, saya telah kehilangan seorang rakan akrab yang amat rapat dengan saya dan isteri. Saya telah melihat perjalanan karier beliau waktu senang dan susah dan saya tetap kenang beliau sebagai sahabat yang setia, sahabat yang amat dekat di hati saya," katanya.

Sebagai Apai Besar Sarawak, jasa Adenan sangat besar dan akan termaktub dalam sejarah serta dikenang semua, terutama rakyat Sarawak, katanya. 

"Sesungguhnya kita semua telah hilang pemimpin yang berwibawa yang memilih untuk berkhidmat untuk parti dan rakyat hingga nafas terakhir beliau.

"Legasi dan visi Tok Nan dalam memastikan Sarawak terus makmur, membangun dan maju seiring dengan pembangunan negara akan terus diusahakan," kata Najib. - Bernama

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan