Kerajaan Tak Sekat Teknologi E-Hailing - Syed Hamid

Diterbitkan: Khamis, 12 Januari 2017 7:05 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah menyekat penggunaan teknologi yang memberi keselesaan kepada rakyat, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata, sebagai sebuah agensi yang diberi tanggungjawab oleh kerajaan untuk melaksanakan tugas transformasi pengangkutan awam, perkhidmatan e-hailing seperti Uber dan GrabCar di negara ini adalah dialu-alukan.

Bagaimanapun beliau berkata, semua pihak yang terlibat dalam industri pengangkutan awam perlu memahami peranan masing-masing dan undang-undang sedia ada yang ditetapkan.

"Apa yang bagus kita sokong tapi kita nak juga yang bagus itu kenal dan faham undang-undang.

"Kita juga memang menggalakkan penggunaan teknologi tapi dalam masa sama kita perlu tentukan ia memuaskan hati pengguna kerana itu paling penting," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kaunter e-tiket dan aplikasi mudah alih 2Go di sini, Khamis.

Menurut Syed Hamid, SPAD sentiasa sedia mendengar kritikan rakyat dalam usaha melakukan penambahbaikan sektor pengangkutan awam darat termasuk bertindak mengikut situasi semasa.

"Ada masanya kita ambil tindakan dan ia mengambil masa untuk membolehkan orang lain atau pihak berkepentingan faham.

"Belum ada lagi ketetapan undang-undang berkenaan e-hailing tapi apa-apa pun yang boleh beri perkhidmatan kepada rakyat kami alu-alukan," katanya.

Syed Hamid (tengah) bersama Shamsulbahrin (kiri) selepas majlis perasmian sistem e-ticket Big Blue 2Go pada Khamis.


Mengenai aplikasi 2Go dan sistem kaunter e-tiket yang dilancarkan, ia merupakan sistem yang diperkenalkan oleh Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd dengan kerjasama Cab Auto Sdn Bhd.

Aplikasi dan sistem ini ditawarkan kepada pengunjung di pusat beli-belah KLCC dan kawasan sekitarnya yang mahu mendapatkan perkhidmatan teksi.

Sementara itu, pengasas Big Blue Taxi Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, aplikasi dan sistem ini diperkenalkan seiring kemajuan teknologi dan memastikan industri teksi kekal relevan dengan gaya hidup dan permintaan pengunjung KLCC.

"Di kaunter e-tiket terdapat petugas yang akan bantu penumpang memasukkan destinasi perjalanan dan tambang tetap akan segera tertera termasuk insurans.

"Sebelum menaiki teksi, penumpang perlu membuat bayaran dengan kad kredit atau debit dan dua salinan tiket akan diberikan di mana pada tiket itu dicetak nombor pendaftaran teksi," katanya sambil menambah kaunter e-tiket diletakkan di semua pintu masuk pusat beli-belah KLCC.

Katanya, antara kebaikan menempah teksi menggunakan aplikasi dan kaunter e-tiket adalah pengguna tidak lagi dikenakan tambang berlebihan, tiada lagi lencongan jarak jauh, tidak perlu beratur dan keselamatan lebih terjamin.






Tags / Kata Kunci: e-hailing , Syed Hamid Albar , SPAD

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan