‘Sesumpah’ Uber/Grab: SPAD, JPJ Selaras Penguatkuasaan

Diterbitkan: Rabu, 11 Januari 2017 7:30 AM

Mohd Azharuddin Mat Sah

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyelaras aspek penguatkuasaan dalam menangani isu pemandu Uber dan GrabCar yang menjalankan kegiatan ‘ulat’.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, satu mekanisme terbaik membabitkan peraturan ‘e-hailing’ diperlukan kerana ia  akan dimasukkan dalam pindaan undang-undang yang akan dibentangkan Dewan Rakyat tidak lama lagi.

“Kita memang kena selaraskan penguatkuasaan, kerjasama dan tindakan dengan pihak berkaitan seperti JPJ.

“Bila peraturan dimasukkan di bawah akta yang akan dipinda, lebih mudah bagi kita untuk membincangkan tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Pada Isnin, Kementerian Pengangkutan mengakui akan mengkaji isu pemandu Uber/Grab yang menjalankan kegiatan ‘ulat’, sebelum memuktamadkan peruntukan undang-undang berkaitan yang dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, pertemuan bersama JPJ dan SPAD akan diadakan bagi memperincikan perkara tersebut.

Kata, Mohd Azharuddin, undang-undang ‘e-hailing’ adalah mengenai peraturan bertugas, cara mendapatkan pelanggan dan kawal selia perniagaan Uber/Grab.


“Jika pemandu Uber/Grab didapati melanggar peraturan, tindakan akan dikenakan terhadap operator dan pemandu,” katanya.

Selain JPJ, Azharuddin berkata, pihaknya turut mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Peguam Negara termasuk pengendali perkhidmatan Uber/Grab dari semasa ke semasa.

“Kita memang sentiasa mengadakan perbincangan terbuka bersama pihak berkaitan dalam perkongsian pandangan dan pendapat. Kita akan teliti dengan lebih mendalam mengenai bagaimana hendak mengawal selia perkhidmatan e-hailing Uber/Grab.

“Bagaimanapun, peraturan-peraturan ini masih belum dimuktamadkan. Ia kini dalam peringkat akhir dan mengemaskini kertas kerja,” katanya.

Dilaporkan kad pemandu merupakan antara cadangan SPAD di dalam peraturan yang akan dikenakan ke atas pemandu Uber/Grab.

Pegawai penguatkuasa JPJ ketika melakukan operasi di KLIA2 baru-baru ini.


Sementara itu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron berkata, pihaknya akan berbincang dengan SPAD mengenai bagaimana untuk mengawal dan seterusnya membanteras kegiatan ‘ulat-ulat’ Uber/Grab. 

“Selama ini ‘ulat’ dilakukan oleh pemandu teksi, tetapi sekarang pemandu Uber/Grab pula. Jadi, kita perlu lihat apakah mekanisme baharu dari segi penguatkuasaan membabitkan Uber/Grab,” katanya.

Nadzri berkata, kedua-dua JPJ dan SPAD masing-masing mempunyai kuasa membabitkan kesalahan pemandu pengangkutan awam yang tidak bertanggungjawab.

“Sehubungan itu, penyelarasan ini dapat menjelaskan peranan dan tindakan masing-masing dalam menangani isu ‘ulat’ Uber/Grab,” katanya.

Terdahulu, mStar Online membuat pendedahan mengenai tindakan kelompok pemandu Uber/GrabCar yang sanggup bertukar status menjadi ‘ulat’ untuk mendapatkan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 di Sepang, gara-gara persaingan tinggi di lokasi berkenaan.

Portal berita ini telah menamakan kelompok pemandu ini sebagai ‘sesumpah’ bagi membezakannya dengan ‘ulat’ sedia ada, sesuai dengan sifat haiwan itu yang sering berubah-ubah mengikut persekitaran.

Mengikut rekod SPAD, sebanyak 13 pemandu Uber/Grab yang didapati bersalah kerana menjalankan kegiatan 'ulat' di KLIA dan KLIA2 sepanjang 2016.

JPJ turut mencatatkan tangkapan 12 ‘ulat’ Uber/Grab yang beroperasi di dua lapangan terbang utama negara dari Januari sehingga Oktober tahun lalu.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan