Subjek Sains Komputer Pacu Ekonomi Digital

Diterbitkan: Selasa, 10 Januari 2017 10:24 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Modul pemikiran komputasional dan subjek Asas Sains Komputer (ASK) yang diperkenalkan di sekolah rendah dan menengah mulai tahun ini, akan membantu melahirkan generasi yang lebih berupaya mengisi pelbagai pekerjaan baharu, terutamanya sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Pengarah Eksekutif Aidan Group of Companies Khairul Anwar M. Zaki berkata lebih banyak pekerjaan baharu yang tidak bersifat konvensional seperti kerani, guru, doktor atau polis bakal wujud dalam era ekonomi digital dan berasaskan ICTdi negara ini.

"Kalau masih kekalkan silibus lama, dikhuatiri generasi muda kini tidak bersedia dan tidak mampu mengisi pelbagai keperluan pekerjaan dalam dunia digital kelak," katanya kepada Bernama.

Sebuah syarikat kumpulan berkenaan, Ardent Educational Consultants Sdn Bhd (ArdentEdu), dipilih oleh Kementerian Pendidikan dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia Sdn Bhd (MDEC) untuk melakukan kajian tentang kaedah pelaksanaan pendidikan pemikiran komputasional di tujuh negara iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, Australia, Denmark, Finland dan Estonia pada tahun lalu. 

Aidan Group adalah kumpulan syarikat-syarikat strategik yang menyediakan portfolio perkhidmatan sebagai peneraju teknologi, juru perunding pendidikan dan pemasaran.

Menjelaskan mengenai pemikiran komputasional, Khairul Anwar berkata subjek itu mengajar pelajar merekabentuk pemikiran, menjana pemikiran logik, menganalisis, merumus, menstruktur dan mencari penyelesaian masalah dengan teknik-teknik tersendiri - kesemuanya merupakan kemahiran bernilai yang menjadi tulang belakang dan pemacu ekonomi digital.

"Subjek baharu dalam persekolahan itu bukan diperkenalkan sewenang-wenangoleh Kementerian Pendidikan, sebaliknya berdasarkan penyelidikan dan kajian terlebih dahulu, serta digubal mengikut kesesuaian pendidikan negara kita," kata beliau yang terlibat secara tidak langsung dalam penyediaan silibus berkenaan.

KUNCI UTAMA KURIKULUM

Khairul Anwar berkata kajian ArdentEdu mendapati kemahiran pemikiran komputasional di tujuh negara berkenaan lebih jauh ke hadapan dan menjadi kunci utama dalam kebanyakan kurikulum pendidikan, walaupun tidak sebagai subjek tunggal.

"Kajian itu menilai pelbagai aspek termasuk amalan terbaik, cabaran-cabaran, infrastruktur, silibus, kesediaan tenaga guru dan hal berkaitan aplikasi teknologi digital," jelasnya.

Pada Ogos 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pengintegrasian modul pemikiran komputasional dan subjek ASK dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) mulai tahun ini.

Melalui inisiatif itu, modul pemikiran komputasional diperkenalkan kepadamurid Tahun Satu dan ASK untuk pelajar Tingkatan Satu dan Empat, sebagai usaha mendedahkan mereka dengan kemahiran teknologi digital seperti pengekodan,algoritma dan penyelesaian masalah.

Pada Oktober, Najib menggariskan lima strategi pemangkin iaitu mikrokosmadigital, pembiayaan modal risiko, perhubungan, bakat dan rangka kerja kawal aturan bagi menjadikan 2017 sebagai tahun Ekonomi Internet Malaysia. 

Khairul Anwar berkata semua pihak sepatutnya sedar bahawa "pemikiran komputasional dan sains komputer berkait rapat dengan era ekonomi digital". 

"Jika tidak dibekalkan dengan ilmu-ilmu berkenaan, ekonomi digital negara tidak akan dapat bertahan kerana tidak mempunyai sumber kemahiran untuk mendokongnya," katanya.

ASAS SAINS KOMPUTER

Mengulas lanjut, Khairul Anwar berkata modul pemikiran komputasional dan ASK adalah penambahbaikan kepada modul ICT sedia ada yang dilaksanakan di sekolah-sekolah. 

"Asas celik komputer mengajar cara menggunakan papan kekunci dan tetikus, mengenali Unit Pemprosesan Pusat (CPU) dan sebagainya, tetapi silibus baharu merangkumi pengekodan, pangkalan data serta interaksi antara manusia dankomputer. 

"Sebenarnya memahami asas sains komputer lebih penting daripada celik komputer. Ia membolehkan seseorang itu mahir berinteraksi dalam pelbagai teknologi yang pesat berubah," jelasnya.

Katanya menerusi subjek ASK di sekolah, ia akan memudahkan pembelajaran sains komputer di kolej kelak dan paling penting memupuk minat pelajar. 

"Selama ini, bila tamat sekolah menengah, pelajar terus memilih jurusan dikolej dengan kebanyakan mereka hanya tahu bidang-bidang perakaunan, pendidikan, dan perubatan tetapi tidak tahu bidang IT yang sebenarnya lebih luas.

"Jadi, dengan pendidikan ASK, pelajar mampu melihat lebih jauh dan menjanabanyak idea. Mereka yang benar-benar berminat boleh pilih bidang IT," kata beliau.

MALAYSIA SEBAGAI PENCIPTA

Sementara itu, Naib Presiden 2 Persatuan Usahawan dan Industri ICT Bumiputera Malaysia, Khairil Iszuddin Ismail berkata pelajar sekarang sangat bernasib baik kerana berpeluang mempelajari ASK sejak di bangku sekolah.

Subjek baharu itu akan memantapkan lagi industri IT negara pada masa depan, walaupun tidak semestinya kesemua pelajar akan menceburi bidang itu kelak.

"Sekurang-kurangnya mereka yang berminat sudah mempunyai asas sains komputer manakala yang meminati bidang lain boleh mengaplikasi kemahiran pemikiran komputasional dalam bidang yang diceburi," katanya. 

Khairil Iszuddin berkata melihat kemajuan masa kini, tidak mustahil Malaysia menjadi negara pencipta dan bukan sekadar menjadi pengguna dalam bidang ICT kelak.

"Berlaku satu perkembangan ketara sekarang... dulu bakat-bakat tempatan merupakan ‘system integrators’ yang mengambil produk dan memasangnya, tetapi trend kini adalah mereka muncul dengan IP (harta intelek) sendiri.

"Jika sekarang industri ICT negara sudah ada bakat-bakat tempatan apatah lagi pada masa depan setelah ASK dan kemahiran pemikiran komputasional diajar di sekolah-sekolah," katanya.

PERLU INFRASTRUKTUR


Meninjau kepada prospek yang lebih besar dan dalam usaha menjadikan Malaysiasebagai hab ICT Asia Tenggara, pembangunan ICT dan dunia ekonomi digital negaraperlu mempunyai infrastruktur ICT yang dapat berfungsi lebih cekap dan berdaya saing.

Khairil Iszuddin, yang juga Ketua Pegawai Teknikal (CTO) E-Sentral.com,  berharap kerajaan dapat mengkaji semula dan memperhalusi segala rancangan pembangunan ICT sama ada yang sudah, sedang dan belum dilaksanakan.

"Kita hendaklah lebih berusaha kerana negara-negara jiran yang mungkinkelihatan tertinggal, sebenarnya bersungguh-sungguh memajukan IT. Jangan terkejut jika negara ini berada pada tahap yang sama sekarang cuma belum ada yang lebih menonjol sebagai ikon," katanya.

Meskipun agensi-agensi kerajaan dan organisasi-organisasi berkaitan IT banyak membantu industri ICT negara, beliau berkata Malaysia sebenarnya masih ketinggalan.

"Kita perlukan Internet yang pantas dan lebih murah. Infrastruktur pembayaran atas talian juga hendaklah lebih mudah, murah dan mesra telefon pintar," katanya.

Berpandangan sama dengan Khairil Iszuddin, Khairul Anwar berkata: "Kita ada teknologi, ada duit dan kemahiran namun masih terdapat kelemahan yang memerlukan perhatian serius pelbagai pihak dan perlu diselesaikan segera." 

Menerusi capaian Internet yang laju dan murah, beliau berkata pelbagai aktiviti Internet dapat dilakukan dengan lancar pada bila-bila masa dengan apa jua aplikasi.

Ia juga akan membantu ekonomi digital negara mencapai sasaran untuk menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 18.2 peratus menjelang 2020.

Ekonomi digital menyumbang kira-kira 17.8 peratus pada 2015.  -Bernama

Tags / Kata Kunci: sains kumputer

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Kolumnis

iklan

Iklan