SOP Untuk Klinik Sedia Khidmat Berkhatan - Dr Hilmi

Diterbitkan: Isnin, 9 Januari 2017 3:03 PM

(Ubah saiz teks)

BALIK PULAU: Kementerian Kesihatan akan menetapkan satu prosedur operasi standard (SOP) untuk klinik kerajaan dan swasta yang menyediakan perkhidmatan berkhatan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata pihaknya juga akan mengawal selia peralatan yang digunakan klinik terbabit bagi memastikan ia tidak memberi kesan sampingan.

"Khatan yang dibuat di klinik swasta ada yang menggunakan elektrik untuk potong kulit tu. Kalau tersilap potong, boleh terpotong dengan kemaluan sekali.

Bila datang ke hospital, (kemaluan) dah jadi hangus dan hitam. Memang tak boleh buat apa.

"Ambil masa untuk 'reconstruct' balik, nak buat semula...perlu dua, tiga pembedahan. Jadi, tak boleh nak salahkan kerajaan sebab proses khatan tu dibuat di klinik swasta," katanya ketika diminta mengulas kejadian kemaluan seorang kanak-kanak lelaki terpotong semasa berkhatan baru-baru ini. 

Menurutnya keluarga mangsa insiden berkhatan itu boleh mengambil tindakan saman terhadap doktor terbabit kerana kecuaian.

Dalam perkembangan lain, Dr Hilmi yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau  berkata bekalan ubat-ubatan untuk mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu adalah mencukupi dan kementerian turut menyediakan klinik bergerak bagi memudahkan mangsa mendapatkan rawatan.

Beliau berkata kejadian banjir tahun ini tidak menjejaskan klinik-klinik sedia ada berbanding banjir besar pada 2014.

"Dalam hal kesihatan, semuanya terkawal dan kami akan pastikan persekitaran sentiasa bersih. Penyakit-penyakit berjangkit pun tidak banyak dengan kes yang ada cuma cirit birit dan hepatitis.

"Kali ini kes leptospirosis pun tak ada berbanding banjir tahun 2014," katanya.

Terdahulu, Dr Hilmi melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yu Chye Kuala Sungai Pinang dan mengadakan pertemuan dengan penduduk Kuala Sungai Pinang, di sini.

Beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk kerja-kerja membaik pulih SJKC Yu Chye dan RM100,000 untuk membaik pulih empat batang jalan di kawasan Kuala Sungai Pinang. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Hilmi Yahya

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan