Projek Mega Pelabuhan Pulau Carey Bakal Dibangunkan

Diterbitkan: Isnin, 9 Januari 2017 9:17 AM

(Ubah saiz teks)

EKSKLUSIF

PETALING JAYA: Northport. Westport. Dan seterusnya Pulau Carey, sebuah projek bandar pelabuhan dan perindustrian berskala besar dengan pelaburan infrastruktur bernilai lebih RM200 bilion meliputi kawasan seluas lebih 100 kilometer persegi, dua kali ganda daripada saiz Putrajaya.

Pelabuhan gergasi baharu ini juga akan mengendalikan lebih banyak kargo dengan penggabungan dua pelabuhan sedia ada.

Menurut Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) dan Lembaga Pelabuhan Melaka, Tan Sri Kong Cho Ha, projek 20 tahun itu akan meliputi pembangunan pelabuhan bersepadu dan insfrastruktur berkaitan, taman perindustrian dan zon perdagangan bebas, bangunan komersial dan kawasan kediaman.

Sebaik-baik sahaja ketiga-tiga fasa pembangunan itu selesai, nilai pembangunan kasar keseluruhan (GDV) boleh melebihi RM1 trilion.

"Keseluruhan Pelabuhan Klang amat sesak sekarang dan pelabuhan itu mencapai kapasiti maksimum. Jadi kita perlu membina satu lagi pelabuhan laut dalam dan membangunkan kapasiti sekarang untuk menampung keperluan dan juga pertumbuhan ekonomi," kata Cho Ha dalam satu temubual eksklusif bersama The Star.

Pelabuhan bagi projek itu dijangka mempunyai kapasiti tahunan untuk mengendalikan 30 juta kontena (kargo) TEU (unit bersamaan 20 kaki).

"Jika kita tidak bertindak sekarang, kita akan terus memainkan peranan kedua terpenting kepada Singapura dan tidak akan mendapat pulangan lebih besar pada masa akan datang," kata Cho Ha.

Pada tahun lalu, Pelabuhan Klang, pelabuhan kontena ke-12 paling sibuk di dunia, mencatatkan peningkatan 10.8% berbanding tahun 2015.

Kapasiti maksimum yang mampu ditampung oleh pelabuhan itu adalah 16 juta.

Sebagai perbandingan, Pelabuhan Singapura mengendalikan 30.9 juta kontena TEU pada 2015.

Cho Ha berkata pelabuhan baharu itu akan menawarkan perkhidmatan maritim yang menyeluruh untuk Malaysia kerana 80% daripada perdagangan maritim di dunia antara Timur dan Barat melalui Selat Melaka.

Pelabuhan Klang, Singapura dan Pelabuhan Tanjung Pelepas merupakan pelabuhan utama di Selat Melaka.

Menurut beliau, satu kajian yang dijalankan oleh PKA terhadap pembangunan projek pelabuhan-bandar telah diserahkan dan diluluskan lembaga PKA  pada November tahun lalu.

Laporan itu dihantar ke Kementerian Pengangkutan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Sime Darby Bhd yang memiliki hampir keseluruhan Pulau Carey turut akan terlibat dalam projek pembangunan tersebut.

"Perunding kami mengatakan kami sepatutnya melaksanakan projek ini suatu ketika dahulu. Saya kata ia perlu dilakukan semalam," kata Cho Ha.

Mengenai dana projek itu, beliau berkata: "Kami terbuka kepada pihak yang berminat daripada pengendali pelabuhan, syarikat perkapalan dan pemaju infrastruktur. Mereka boleh datang dari China, Jepun, Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), India dan sebagainya.

"China berminat untuk membangunkan keseluruhan kawasan itu. Di China, setiap pelabuhan kini membangunkan kapasiti. Kita perlu melakukan sesuatu yang besar untuk urusan perdagangan dengan mereka. Jika tidak, kita akan kekal kecil selama-lamanya," kata Cho Ha.

Dalam satu temubual bersama The Star enam bulan lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau telah membentangkan konsep projek tersebut untuk rakan sejawatannya di China dengan menjemput mereka bersama-sama membangunkan Pulau Carey menjadi sebuah pelabuhan laut dalam.

Beliau mendedahkan kementeriannya turut berbincang dengan China Merchants Group (CMG).

CMG adalah konglomerat milik negara China dalam industri pengangkutan dan infrastruktur.

Cho Ha berkata projek bandar pelabuhan itu turut menyediakan perkhidmatan maritim termasuk bunker, baik pulih dan penyelenggaraan kapal.

Ia akan menampung kapal kontena yang membawa barangan pukal dan juga cecair termasuk bijirin, mineral dan kenderaan.

Fasa pertama pembangunan itu dijangka mengambil masa selama enam hingga tujuh tahun jika projek itu dilancarkan tahun ini.

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan