Kementerian Pengangkutan Kaji Isu ‘Sesumpah’ Uber, Grab

Diterbitkan: Isnin, 9 Januari 2017 7:30 AM

Ab Aziz Kaprawi.

(Ubah saiz teks)

LAPORAN KHAS

PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan akan mengkaji isu pemandu Uber dan GrabCar yang menjalankan kegiatan ‘ulat’, sebelum memuktamadkan peruntukan undang-undang berkaitan yang dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Undang-undang itu bagi mengawal selia dua perkhidmatan e-hailing di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, walaupun isu ulat di kalangan pemandu Uber/Grab masih baharu tetapi tindakan memberi perkhidmatan kepada penumpang tanpa pengesahan tempahan menerusi aplikasi itu adalah satu kesalahan.

Sehubungan itu katanya, pertemuan bersama pihak berkuasa berkaitan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan diadakan dalam waktu terdekat bagi memperincikan perkara tersebut.

“Sepatutnya tidak timbul ‘ulat’ Uber/Grab kerana penumpang hanya akan diambil sekiranya terdapat pengesahan menerusi tempahan menggunakan aplikasi tetapi masih ada pemandu berkenaan melakukan kesalahan. 

"Isu ‘ulat’ Uber/Grab ini masih baharu, oleh itu kita akan bangkitkan perkara ini. Saya akan segera panggil pegawai-pegawai kementerian dan JPJ serta SPAD untuk berbincang bersama bagi mengatasi perkara ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Keadaan di balai ketibaan KLIA.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pendedahan mStar Online mengenai tindakan kelompok pemandu Uber/Grab yang sanggup bertukar status menjadi ‘ulat’ untuk mendapatkan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 di Sepang, gara-gara persaingan tinggi di lokasi berkenaan.

Portal berita ini telah menamakan kelompok pemandu ini sebagai ‘sesumpah’ bagi membezakannya dengan ‘ulat’ sedia ada, sesuai dengan sifat haiwan itu yang sering berubah-ubah mengikut persekitaran.

'Sesumpah' yang mendaftar dengan kedua-dua syarikat itu dikesan menyalahgunakan aplikasi tempahan untuk mengambil penumpang, sekali gus mengaut keuntungan bersih. 

Ia bertentangan dengan syarat yang ditetapkan Uber dan GrabCar di mana kadar tambang perlu diagihkan sebanyak 80 peratus pemandu dan 20 peratus disalurkan kepada syarikat berkenaan.

Ditanya sama ada syarikat Uber dan Grab turut dipanggil dalam pertemuan itu, Ab Aziz berkata: “Tidak, kita panggil pihak berkuasa berkaitan dahulu kerana ia melibatkan hal penguatkuasaan.”

Siri pertama laporan khas mStar Online yang mendedahkan kegiatan 'ulat' Uber/Grab di KLIA dan KLIA2.

Menurut Ab Aziz, undang-undang berkaitan Uber/Grab akan dilaksanakan bagi memberi ruang kepada penyedia perkhidmatan itu beroperasi secara sah dan adil di negara ini.

Oleh itu, katanya, sebarang isu yang menyalahi undang-undang membabitkan perkhidmatan berkenaan perlu ditangani terlebih dahulu.

“Antara yang kita cadangkan adalah mendaftarkan mereka dan mengeluarkan permit sebagaimana teksi. Jadi, kalau pemandu Uber/Grab didapati melakukan kesalahan, tindakan boleh diambil termasuk membatalkan permit,” katanya sambil menambah kajian mengenai peruntukan undang-undang berkenaan kini di peringkat akhir.

Beliau menambah, apa sahaja ketetapan yang dibuat berkaitan Uber/Grab kelak bertujuan untuk mentransformasikan sistem pengangkutan awam di negara ini.

April tahun lalu, Ab Aziz dilaporkan sebagai berkata, Kementerian Pengangkutan akan mengkaji untuk mengenakan syarat yang hampir serupa kepada Uber dan Grab, sebagaimana syarat dikenakan SPAD terhadap teksi.

Mengikut rekod SPAD, sebanyak 13 pemandu Uber/Grab yang didapati bersalah kerana menjalankan kegiatan 'ulat' di KLIA dan KLIA2 sepanjang 2016.

Sementara itu, JPJ turut mencatatkan tangkapan 12 ‘ulat’ Uber/Grab yang beroperasi di dua lapangan terbang utama negara dari Januari sehingga Oktober tahun lalu.

Tags / Kata Kunci: Ab Aziz Kaprawi , SPAD , JPJ , Uber , Grab

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Kolumnis

iklan

Iklan